Hajiji menyampaikan cenderamata kepada Chang.
KOTA KINABALU: Jawatankuasa Eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) Sabah memaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bahawa Ekspo Antarabangsa Sabah 2026 (SIE2026) akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini dari 2 hingga 6 September.
Pengerusi MICCI Sabah, Datuk Susan Chang berkata, SIE2026 merupakan antara inisiatif utama yang dirancang MICCI bagi tahun ini.
Ekspo itu akan menampilkan pelbagai program dan aktiviti yang bertujuan memudah cara jaringan perniagaan, mempromosikan peluang perdagangan dan pelaburan, menggalakkan kerjasama industri serta mengetengahkan potensi ekonomi Sabah kepada pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa.
Antara program dan aktiviti utama SIE2026 ialah Persidangan Perdagangan, Pelaburan dan Halal BIMP-EAGA Ke-3, Sabah International Business Luncheon Talk 2026 (SIBLT2026) serta Majlis Makan Malam Aluan SIE2026 anjuran Kerajaan Negeri Sabah.
Susan turut memaklumkan kepada Hajiji bahawa lebih 30,000 pelawat perdagangan, delegasi, peserta dan pengunjung awam dari 15 negara dijangka menghadiri SIE tahun ini.
Negara berkenaan termasuk Australia, Brunei Darussalam, China, Denmark, Finland, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia (Semenanjung), Filipina, Poland, Singapura, Thailand dan Zambia.
Beliau berkata, selain acara utama, MICCI Sabah terus memainkan peranan aktif dalam kerjasama ekonomi serantau menerusi inisiatif Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), yang mewakili pasaran berpotensi kira-kira 80 juta penduduk.
Hajiji memuji MICCI Sabah atas peranan proaktifnya dalam menyokong pertumbuhan sektor swasta serta menggalakkan kerjasama lebih erat antara pemain industri dan Kerajaan.






























