Joniston (lima kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif STB Victoria Engku (empat kanan) dan Ahli Lembaga Pengarah mempromosikan Pameran CoBT Sabah 2026. – Kredit foto: Sri Pelancongan Sabah
KOTA KINABALU: Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT) Sabah 2026 kembali untuk edisi kelapan dengan mengetengahkan inspirasi daripada tradisi Tamu bagi mempromosikan produk dan pengalaman pelancongan komuniti luar bandar dari seluruh Sabah.
Dianjurkan oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB), pameran selama tiga hari itu akan berlangsung dari 20 hingga 22 November ini di pusat beli-belah Suria Sabah.
Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata konsep Tamu mencerminkan tradisi masyarakat tempatan yang berkumpul untuk berdagang dan mempamerkan hasil keluaran masing-masing, satu semangat yang ingin diteruskan menerusi pameran itu dengan menghubungkan pengusaha pelancongan komuniti dengan pengunjung serta pemain industri.
Pameran tahun ini akan menampilkan 30 reruai pameran yang mewakili persatuan pelancongan dari pelbagai daerah di Sabah, selain 12 reruai jualan yang dikendalikan ejen pelancongan berdaftar bagi mempromosikan dan menawarkan pakej pelancongan berasaskan komuniti.
Pengunjung berpeluang menerokai destinasi pelancongan, membeli kraftangan tempatan, cenderamata, makanan dan minuman, selain membuat tempahan serta membeli pakej pelancongan secara langsung sepanjang penganjuran acara itu.
Program berkenaan turut menampilkan sesi perkongsian mengenai kelestarian dan agropelancongan, demonstrasi penghasilan kraftangan CoBT dan penyediaan makanan tradisional, pertandingan mewarna kanak-kanak serta permainan tradisional.
Joniston berkata pameran itu menyokong agenda Kerajaan Negeri untuk membangunkan sektor pelancongan melangkaui destinasi utama serta memperkukuh penyertaan komuniti luar bandar dalam industri pelancongan Sabah secara lebih meluas.
Beliau berkata usaha turut dilaksanakan untuk menambah baik pengumpulan data pelancongan luar bandar menerusi platform Rural Tourism E-Connectivity (RuTEC), yang mula diuji rintis di Kiulu pada Julai 2025.
Dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Datablu, platform itu membolehkan pengusaha pelancongan menjejaki tempahan dan resit elektronik, selain menyediakan maklumat mengenai tingkah laku serta minat pengunjung. STB kini sedang berusaha memperluas penggunaan platform itu ke kawasan lain.
“Akses yang lebih baik kepada data pelancongan akan membantu kita memahami prestasi destinasi, minat pengunjung dan aspek yang perlu ditambah baik, sekali gus membolehkan kita merancang dengan lebih berkesan serta menyokong pertumbuhan pelancongan berasaskan komuniti.
“Menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, kita mahu lebih banyak destinasi komuniti mendapat perhatian dan menarik pengunjung, selain mewujudkan peluang kepada pengusaha tempatan untuk menambah baik produk mereka, meluaskan capaian pasaran dan memperoleh manfaat ekonomi daripada pertumbuhan sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu turut merangkumi kempen “Bah, Lakastah Kitani Ke Sabah” yang berlangsung dari 21 November hingga 31 Disember 2026, menawarkan tawaran istimewa kepada pasaran Brunei selain menggalakkan pengunjung menerokai pengalaman CoBT di samping aktiviti biasa mereka seperti membeli-belah.
Pameran CoBT tahun ini menyasarkan kira-kira 3,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, termasuk penduduk tempatan, keluarga, pelajar serta pelancong domestik dan antarabangsa yang berkunjung ke Sabah.
































