KUALA LUMPUR (Bernama): Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima 159,728 panggilan berkaitan penipuan dalam talian dengan kerugian dilaporkan berjumlah RM250.35 juta bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan daripada jumlah itu, RM6.75 juta telah dikenal pasti untuk tindakan pemulihan (earmarked), RM9.14 juta disita manakala RM6.67 juta berjaya dipulangkan kepada mangsa yang bersamaan 73 peratus daripada jumlah sitaan.
“Dalam konteks ini, konsep ‘golden hours’ amat penting iaitu tempoh kritikal sebaik sahaja penipuan berlaku. Mangsa perlu segera menghubungi NSRC melalui talian 997, khususnya dalam tempoh 24 jam pertama bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk mengesan dan menyekat aliran wang sebelum dipindahkan atau dikeluarkan, sekali gus meningkatkan peluang wang tersebut diperoleh semula,” menurut KDN dalam jawapan bertulis pada laman rasmi Parlimen.
KDN menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai punca kerugian penipuan dalam talian mencecah RM3.8 bilion, kadar pemulangan dana mangsa yang masih rendah dan tindakan menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu di luar negara.
Menurut kementerian, peningkatan kerugian akibat penipuan dalam talian berpunca daripada modus operandi penjenayah yang sentiasa berubah-ubah dan semakin canggih termasuk eksploitasi teknologi digital, penggunaan identiti palsu serta penyalahgunaan media sosial, aplikasi komunikasi dan pelbagai platform digital.
Selain itu, penjenayah menggunakan teknik kejuruteraan sosial dengan memanipulasi emosi, kepercayaan, ketakutan, kecuaian dan keinginan mangsa untuk mendapatkan pulangan kewangan secara segera.
“Cabaran ini ditambahkan lagi dengan sifat kegiatan sindiket yang beroperasi secara rentas sempadan serta menggunakan akaun keldai dan infrastruktur digital yang merentasi pelbagai bidang kuasa, sekali gus menyukarkan tindakan pengesanan serta usaha pemulihan dana mangsa secara pantas,” menurut KDN.
Dalam isu berkaitan, KDN memaklumkan sebanyak 181,750 kes penipuan dalam talian direkodkan PDRM dalam tempoh 2023 hingga Ogos 2026, dengan jumlah kerugian mencecah RM6.95 bilion.
Jumlah itu melibatkan 34,495 kes pada 2023, sebanyak 35,368 kes pada 2024 dan meningkat kepada 66,204 kes pada 2025, manakala 45,683 kes direkodkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
“Secara keseluruhan bagi tempoh tersebut, Jenayah Telekomunikasi mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 69,195 kes, diikuti Jenayah eDagang sebanyak 47,221 kes. Sementara itu, Love Scam merekodkan jumlah kes paling rendah iaitu 3,540 kes,” menurut KDN menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) mengenai jumlah kes penipuan dalam talian dan kerugian direkodkan setakat 2026.
Dari aspek kerugian, KDN mendedahkan sebanyak RM1.22 bilion direkodkan pada 2023, meningkat kepada RM1.57 bilion pada 2024 dan RM2.97 bilion pada 2025, manakala RM1.18 bilion dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Berdasarkan modus operandi, Pelaburan Tidak Wujud mencatatkan kerugian tertinggi iaitu RM3.28 bilion, diikuti Jenayah Telekomunikasi (RM2.03 bilion) serta Love Scam merekodkan kerugian RM169.72 juta. — BERNAMA


































