Dr Joachim bergambar bersama barisan AMT PBS yang baharu selepas mesyuarat tersebut.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) melantik pengerusi tujuh biro utama bagi sesi 2026–2029 dalam usaha memperkukuh organisasi parti, menyelaras gerak kerja serta meningkatkan sokongan di peringkat akar umbi.
Pelantikan itu dibuat dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) pertama bagi sesi berkenaan yang dipengerusikan Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam di Ibu Pejabat PBS di Donggongon, di sini, kelmarin.
Mereka yang dilantik ialah Datuk Joniston Bangkuai sebagai Pengerusi Biro Disiplin dan Tatatertib, Datuk Lo Su Fui (Biro Sosio-Ekonomi), Datuk Haji Ruslan Muharam (Biro Kebajikan dan Bencana Alam) dan Datuk Julita Majungki (Biro Pembangunan Kepimpinan).
Turut dilantik ialah Datuk Hendrus Anding sebagai Pengerusi Biro Pendidikan dan Latihan Kemahiran, Datuk Dr Christoper Mandut (Biro Pembangunan Belia dan Beliawanis) serta Datuk Jonnybone Kurum (Biro Pembangunan Keusahawanan).
Dr Joachim berkata pelantikan itu bertujuan memastikan setiap biro berfungsi secara aktif dan melaksanakan program berimpak yang memberi manfaat kepada ahli parti serta rakyat Sabah.
“Jawatan dalam PBS bukan hadiah. Jawatan adalah amanah. Saya mahu setiap biro bekerja, turun padang dan membawa hasil yang dapat dirasai oleh ahli dan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, PBS merancang mengadakan Jelajah Kepimpinan Tertinggi ke enam zon bermula seawal Januari 2027 bagi mendekati ahli, mendengar pandangan akar umbi dan memperkukuh perpaduan parti.
Mesyuarat itu turut bersetuju mengemukakan kertas cadangan penambahan kerusi Parlimen Sabah kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk pertimbangan.
Cadangan itu melibatkan kawasan seperti Kota Marudu, Tuaran, Keningau, Tenom dan Tawau, selain beberapa kawasan lain.
PBS komited memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan berkesan, selaras dengan usaha memperkukuh parti dan memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.


































