SANDAKAN: Program Pemantapan Wanita Cemerlang yang dianjurkan bagi memperkasa golongan wanita melalui peningkatan kemahiran kepimpinan, literasi media dan digital serta pembangunan diri secara holistik.
Program sehari itu berlangsung di Dewan Kuliah Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Bahagian Sandakan pada 15 November, dengan sasaran penyertaan seramai 200 orang.
Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian.
Antara pengisian utama program ialah Kursus Kepimpinan Wanita Berwibawa yang memberi penekanan kepada kemahiran komunikasi berimpak tinggi, rundingan, pengurusan krisis, pembuatan keputusan dan penjenamaan diri.
Kemahiran berkenaan penting bagi membantu wanita tampil lebih yakin, menyampaikan pandangan dengan berkesan serta membuat keputusan dalam pelbagai situasi.
Program itu turut merangkumi Kursus Literasi Media dan Digital atau Celik Digital, yang memberikan pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan aplikasi pintar seperti TikTok Shop, Canva dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) untuk perniagaan.
Melalui sesi praktikal, peserta digalakkan menggabungkan kemahiran daripada beberapa aplikasi bagi menghasilkan tugasan dan bahan digital ringkas.
Pendedahan berasaskan amali itu diharap dapat membantu peserta memanfaatkan teknologi untuk mengembangkan perniagaan, menyusun tugasan dan menyampaikan idea secara lebih kreatif.
Program anjuran Gagasan Rakyat itu turut menyediakan ruang kepada peserta berkongsi pengalaman serta membina jaringan yang dapat menyokong perkembangan diri dan kerjaya.
Penganjurannya juga bertujuan memperkukuh keyakinan dan daya saing wanita dalam menghadapi cabaran ekonomi serta perubahan teknologi, selain memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan dan keseimbangan antara kerjaya dengan kehidupan seharian.
Program berkenaan diakhiri dengan majlis penutupan dan penyampaian sijil kepada peserta.
Penganjuran program seumpama itu mencerminkan kepentingan menyediakan peluang pembelajaran praktikal dan relevan bagi membolehkan lebih ramai wanita mengembangkan potensi serta menyumbang secara aktif kepada keluarga, komuniti dan pembangunan negara.

































