Zulkarnain Mahdar
KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membidas tindakan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat siapa di sebalik syarikat Rakan Pelaksana Projek (PDP) Lebuhraya Pan Borneo Sabah.
Pengerusi G57 Datuk Zulkarnain Mahdar menyifatkan desakan itu tidak lebih daripada helah politik bagi mengelirukan rakyat, sekali gus menutup kesilapan besar Shafie menasihati Kerajaan Persekutuan supaya menamatkan perjanjian PDP Pan Borneo dahulu.
Katanya, keputusan membatalkan model PDP pada 2019 dan menukarnya kepada kaedah konvensional ternyata membawa padah apabila projek mega itu terpaksa distruktur semula hingga mencetuskan pelbagai masalah tender, selain menyusahkan rakyat Sabah kerana lebuh raya yang sepatutnya siap penghujung tahun 2021 kini tertangguh hampir sedekad.
“Shafie jangan buat-buat lupa. Akibat pembatalan kontrak PDP itu, kerajaan terpaksa menanggung beban membayar pampasan penyelesaian sekali bayar berjumlah RM155 juta kepada syarikat terlibat.
“Lebih parah, alasan kononnya mahu berjimat memakan diri apabila kos keseluruhan projek melonjak hampir dua kali ganda daripada anggaran asal RM12.86 bilion pada 2015 kepada RM24.89 bilion hari ini. Pertambahan lebih RM12 bilion itu berpunca daripada kelewatan dan pelarasan semula kontrak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Zulkarnain berkata pelantikan serta struktur syarikat PDP bagi jajaran Sabah, Borneo Highway PDP Sdn. Bhd. (BHPSB) pada 2016 bukan rahsia besar atau syarikat misteri seperti yang cuba digambarkan, kerana rekod korporat dan barisan penerajunya terbuka untuk semakan sesiapa sahaja di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Rakyat sedia maklum kepimpinan utama dan Ahli Lembaga Pengarah BHPSB ketika itu diterajui tiga individu yang jelas mempunyai rekod serta kelayakan dalam bidang pentadbiran, pembangunan dan kejuruteraan.
“Pengerusinya ialah Datuk Felix Madan, pesara pegawai kanan kerajaan negeri yang pernah memegang jawatan tertinggi pentadbiran sebagai Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah.
“Kedua, Datuk Seri Ir. Shahelmey Yahya yang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dari 2016 hingga 2018 merangkap penandatangan utama perjanjian PDP bagi pihak syarikat, manakala kerusi lembaga pengarah turut dianggotai Datuk Nik Airina Nik Jaffar yang mewakili syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu usaha sama UEM Group Berhad dan MMC Corporation Berhad,” katanya.
Menurut Zulkarnain, sekiranya pembabitan Shahelmey yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Putatan dijadikan alasan untuk Shafie menasihati Putrajaya membatalkan kontrak PDP, ia merupakan satu kesilapan besar dan tidak masuk akal.
“Shahelmey hanyalah salah seorang pengarah urusan bergaji, malah beliau sememangnya jurutera kanan bertauliah yang layak dari segi profesional untuk menggalas tugas teknikal tersebut.
“Daripada terus bermain wayang mengalihkan perhatian rakyat dengan benda yang sudah terang lagi bersuluh dalam rekod rasmi, elok Shafie jawab dua persoalan besar ini kepada rakyat Sabah.
“Pertama, jelaskan bagaimana Datuk Peter Anthony melalui syarikat Asli Jati Engineering (nama asal Saga Sempurna Enterprise) didakwa mendapat projek bernilai dikatakan lebih RM20 juta melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sewaktu Shafie menjadi Menteri KKLW.
“Kedua, Shafie juga wajar menjelaskan pendedahan mengenai pemberian projek penyelenggaraan jalan raya bernilai RM1.45 bilion pada Januari 2020 secara rundingan terus oleh kerajaan Warisan Sabah kepada empat syarikat yang didakwa mempunyai pendapatan sifar, sedangkan kuasa kelulusan berada di bawah Menteri Kewangan Sabah yang disandang beliau sendiri ketika itu,” tegasnya.
Tambah Zulkarnain, kerajaan Warisan sendiri yang mentadbir Sabah dari 2018 hingga 2020 mempunyai akses penuh terhadap segala dokumen perjanjian BHPSB sebelum menasihati Kerajaan Persekutuan menamatkan kontrak berkenaan, justeru tidak timbul soal kononnya ada pihak tersembunyi di sebalik syarikat tersebut.

































