Armizan Mohd Ali
PAPAR (Bernama): Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mempergiat usaha memupuk budaya inovasi dan meningkatkan kesedaran kepentingan perlindungan harta intelek (IP) dalam kalangan generasi muda menerusi Program IP SPARK 2026.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata program di bawah inisiatif MyIPO NextGen itu memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai proses pembangunan idea kreatif, penghasilan inovasi serta perlindungan harta intelek yang berpotensi menjana nilai ekonomi.
Beliau berkata usaha berkenaan selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada peningkatan penciptaan nilai harta intelek sebagai antara strategi memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi negara.
“Dalam RMK13 telah digariskan antara indikator penting yang perlu dicapai ialah kita mahu supaya Malaysia berada pada kedudukan 20 negara teratas dalam Indeks Inovasi Global menjelang 2030,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Program IP SPARK 2026 hari ini.
Program bertemakan Ideas, Create and Impact yang berlangsung dua hari bermula semalam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni dan SMK Pengalat di sini, menghimpunkan 120 peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).
Armizan berkata Malaysia kini berada pada kedudukan ke-34 dalam Indeks Inovasi Global 2025 dan kerajaan turut menyasarkan 2,000 permohonan paten oleh warganegara Malaysia menjelang 2030.
Mengulas pelaksanaan IP SPARK 2026, beliau berkata program itu menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggalakkan peserta mengenal pasti isu dan cabaran dihadapi masyarakat setempat sebelum menghasilkan penyelesaian melalui penjanaan idea serta pembangunan prototaip.
Beliau berkata pendekatan berkenaan bukan sekadar bertujuan mencungkil minat, kreativiti dan bakat inovasi dalam kalangan pelajar, malah turut memberi penekanan kepada kepentingan melindungi hasil ciptaan supaya berpotensi dikomersialkan pada masa hadapan.
“Sektor pendidikan tempatan merangkumi sekolah, kolej dan institusi pengajian tinggi merekodkan sebanyak 11,625 permohonan dan pendaftaran harta intelek bagi tempoh 2021 hingga Oktober 2026,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata MyIPO akan terus memperkukuh pembangunan dan pengkomersialan harta intelek pada 2027 termasuk memperluas akses pembiayaan kepada syarikat pemula dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi IP Valuation Financing Fund.
Beliau berkata inisiatif itu bertujuan membantu syarikat berkenaan mendapatkan khidmat penilaian harta intelek secara profesional, sekali gus membuka lebih banyak peluang memanfaatkan aset inovasi bagi tujuan komersial.
“MyIPO turut memberi tumpuan kepada pelaksanaan Program Petunjuk Geografi (GI) MADANI bagi melindungi identiti dan keunikan produk tempatan berdasarkan asal usul geografi, di samping meningkatkan pengiktirafan serta nilai komersialnya.
“Antara produk dikenal pasti berpotensi mendapat perlindungan itu ialah Avocado Sabah, Nanas Bario dan Durian Raja Kunyit Tanah Merah,” katanya.
Armizan berkata MyIPO menyasarkan lima permohonan petunjuk geografi tempatan dan dua permohonan antarabangsa pada 2027 bagi memperluas perlindungan produk tempatan serta membuka peluang pasaran lebih luas kepada komuniti pengeluar.
Dalam perkembangan lain, Armizan turut menyuarakan harapan supaya operasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau dikekalkan meskipun Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang melaksanakan kajian rasionalisasi kampus universiti berkenaan di seluruh negara.
Beliau berkata kemudahan pendidikan tinggi itu perlu dipertahankan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial kerajaan dalam menyediakan akses pengajian tinggi kepada penduduk Pantai Timur Sabah.
Armizan turut mencadangkan supaya penawaran kursus dan kaedah meningkatkan kemasukan pelajar diteliti melalui kerjasama KPT, kerajaan negeri serta Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah. — BERNAMA


































