Masidi bersama tetamu kehormat dan para hadirin.
RANAU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama komuniti setempat perlu terus memperkukuh peranan dalam membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan agar tidak tercicir dalam pendidikan akibat kekangan kewangan.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun berkata sokongan pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat penting bagi memastikan setiap pelajar mendapat peluang sama rata untuk belajar serta mengembangkan potensi diri.
Beliau berkata latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang kepada seseorang pelajar untuk mencapai kejayaan.
“Janganlah kita membiarkan kekangan kewangan menjadi penghalang kepada anak-anak untuk belajar, berkembang dan mencapai cita-cita mereka,” katanya pada Majlis Makan Malam Amal PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lohan 2026 di Perkasa Hotel Kundasang, semalam.
Masidi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, berkata penganjuran majlis amal itu mencerminkan keprihatinan bersama terhadap pendidikan anak-anak, selain menjadi platform mengumpul dana bagi menambah baik kemudahan sekolah serta menyokong program akademik dan kokurikulum.
Beliau berkata kecemerlangan pelajar bukan sahaja diukur berdasarkan pencapaian akademik, tetapi turut merangkumi pembentukan sahsiah, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dan penerapan nilai-nilai murni.
Masidi yakin penglibatan berterusan PIBG dan komuniti dapat membantu mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif serta memastikan keperluan setiap pelajar diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, alumni, agensi kerajaan, sektor swasta dan semua penyumbang atas sokongan yang diberikan.
Beliau menyifatkan setiap sumbangan sebagai pelaburan penting dalam pembangunan generasi muda.
Turut hadir ADUN Paginatan Datuk Rusdin Riman, Pegawai Daerah Ranau Herry Awit, Pegawai Pendidikan Daerah Barizah Mohd Kahar, Pengetua SMK Lohan Hamie Kumil dan Yang Dipertua PIBG SMK Lohan Md Yusuf Md Kahar.


































