Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Rakyat dan pemimpin Sabah perlu bersatu dalam membawa suara negeri itu agar lebih kuat dan dihormati, terutama dalam usaha memastikan pembangunan lebih seimbang serta masa depan lebih baik untuk generasi akan datang.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, bersempena 63 tahun pembentukan Malaysia, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu terus diperkukuh, selain pembangunan Sabah diberikan perhatian sewajarnya.
“Mungkin kebetulan, tahun ini kita meraikan pembentukan Malaysia yang ke-63 tahun, dan dalam masa yang sama kita mahu pelaksanaan MA63 terus diperkukuh.
“63 tahun kita bersama dalam Malaysia. Banyak yang telah kita capai, namun masih ada ruang yang perlu kita perbaiki, khususnya dalam pembangunan Sabah,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Azrul berkata, apabila melihat kemajuan infrastruktur di Sabah berbanding Semenanjung, jelas perjalanan pembangunan negeri itu masih panjang, manakala pengagihan kekayaan negara pada masa lalu belum sepenuhnya dirasai secara saksama oleh rakyat Sabah.
Katanya, Kerajaan Negeri perlu terus berusaha meningkatkan hasil negeri dan memperkukuh keupayaan kewangan, manakala Kerajaan Persekutuan mempunyai peranan besar memastikan pembangunan Sabah mendapat perhatian sewajarnya.
“Apa yang rakyat harapkan bukan sekadar perbahasan tentang siapa yang bertanggungjawab. Rakyat mahu melihat keperluan asas hidup diselesaikan, pendidikan yang berkualiti dan peluang pekerjaan yang lebih luas.
“Ini yang sedang diikhtiarkan oleh kerajaan negeri dan memerlukan sokongan Kerajaan Persekutuan. Maknanya semua ini memerlukan kerjasama yang baik antara kedua-dua kerajaan,” katanya.
Azrul berkata, dasar yang baik juga memerlukan kesinambungan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat, selain pengalaman politik legasi termasuk ketidakstabilan kerajaan dan kekerapan pertukaran Ketua Menteri pada masa lalu perlu dijadikan pengajaran.
Beliau berkata, kestabilan politik tidak seharusnya hanya diukur melalui jumlah kerusi Parlimen atau siapa yang membantu membentuk sesebuah kerajaan, sebaliknya bagaimana kestabilan itu diterjemahkan kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Namun, kita perlu mengakui realiti politik. Dalam banyak keadaan, angka dan kekuatan sokongan turut menentukan sejauh mana sesuatu suara mendapat perhatian dan pembangunan dapat dipercepatkan. Sabah telah melalui pelbagai pengalaman mengenainya sejak sekian lama,” katanya.
Azrul berkata, rakyat dan pemimpin perlu bersama-sama menulis “buku baharu” mengenai Sabah yang lebih maju, pembangunan yang lebih seimbang dan masa depan lebih baik untuk anak-anak.
“Yang lalu kita jadikan pengajaran. Yang mendatang kita bina bersama. Sebab itu kita perlu bersatu. Rakyat dan pemimpin bersatu dalam membawa suara Sabah agar menjadi lebih kuat dan dihormati,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan yang stabil, hubungan baik antara negeri dan Persekutuan, serta kesatuan pimpinan dan rakyat adalah asas penting untuk Sabah bergerak ke hadapan.
“Rakyat Sabah tidak menuntut lebih daripada apa yang menjadi hak mereka. Rakyat Sabah hanya mahu pembangunan yang sepatutnya sampai kepada mereka, dan masa depan yang lebih baik untuk anak-anak mereka. Ini masanya, kita noktahkan harapan ini bersama,” katanya.
































