KOTA BHARU (Bernama): Seorang anggota tentera didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya anak perempuan kandungnya yang berusia lima tahun dengan menyepak mangsa, Jumaat lepas.
Mohamed Nisa Mohamed Nasir, 40, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anaknya berusia lima tahun di sebuah kedai makan Lot 143, Batu 2, Jalan Kuala Krai, di sini, pada 10.55 malam, 11 Sept 2026.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Syazalia Che Suhaimin tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu melibatkan kanak-kanak serta terdapat kebimbangan sekiranya tertuduh boleh mengganggu mangsa yang juga merupakan anak kandungnya.
Bagaimanapun, peguam bela Zuhaidie Akmal Hasan Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan tertuduh merupakan anggota tentera yang telah berkhidmat selama 19 tahun dan mempunyai tiga anak.
Beliau berkata isteri tertuduh tidak bekerja dan memerlukan rawatan hemodialisis serta bantuan daripada tertuduh untuk ke hospital secara berkala.
Zuhaidie Akmal berkata tertuduh juga tidak mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan atau aduan keganasan rumah tangga serta tidak mempunyai risiko melarikan diri kerana tertakluk kepada kawalan pasukannya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan serta beberapa syarat termasuk tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan, terutama mangsa.
Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah jika memilikinya serta melaporkan diri di Balai Polis Pengkalan Chepa atau balai polis berhampiran setiap dua bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 Okt depan untuk sebutan dan penyerahan dokumen. — BERNAMA
































