Azrul (kiri) menerima anugerah P.G.D.K. yang disampaikan oleh Tun Musa (kanan).
KOTA KINABALU : Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat Negeri Sabah menyaksikan 151 individu menerima anugerah masing-masing.
Istiadat bersempena dengan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman itu berlangsung di Dewan Istiadat Istana Seri Kinabalu, pada Isnin.
Istiadat dimulakan dengan pengurniaan darjah kebesaran kepada penerima pertama Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima iaitu tokoh korporat dalam industri minyak dan teknologi, Datuk Seri Panglima Abdul Farish Abdul Rashid.
Seterusnya, mendahului senarai 23 penerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa.
Turut menerima PGDK, Ketua Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim, Pengurus Besar Ko Nelayan Sabah Datuk Yusof Ag Besar, Setiausaha Politik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam, Kementerian Kewangan Malaysia, Datuk Alan Abdul Rahim.
Dalam istiadat berkenaan, Tun Musa juga menganugerahkan darjah Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) kepada 19 individu antaranya, Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki dan Pengarah Pengambilan Pelajar Universiti Teknologi MARA, Ak Ashaari Ak Yussof.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Zon Maritim Sandakan Komander Maritim, Ahmad Firdaus Shaari dan Ketua Pegawai Operasi Sri Pelancongan Sabah, Fidelis Francis Andam merupakan antara penerima Ahli Darjah Kinabalu (ADK).
Dalam pada itu, seramai 33 individu dianugerahkan Bintang Setia Kinabalu (BSK) antaranya, Penyelia Kemas Tawau, Wirmasusanti Mahtar Hams dan Ketua Cawangan Tabung Haji Travel, Hidam Tory.
Perunding Latihan INTAN Sabah, Aidalina Mahili pula antara 29 individu yang menerima darjah Bintang Kinabalu (BK) dan seramai 12 individu dikurniakan Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT).
Turut hadir dalam majlis itu Menteri Belia, Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun.
































