LAHAD DATU: POIC Sabah Sdn. Bhd. dengan kerjasama syarikat makanan terkenal Adabi meneruskan tradisi kebajikan Ramadan apabila menganjurkan program memasak bubur lambuk untuk tahun kedua berturut-turut di POIC Lahad Datu pada 12 Mac lalu.
Program yang mencerminkan semangat kebersamaan komuniti itu menyaksikan seramai 44 peserta berganding bahu menyediakan bubur lambuk, juadah tradisional yang sinonim dengan waktu berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.
Pengerusi POIC Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan POIC Sabah, Datuk Fredian Gan turut menyertai program tersebut dengan mengambil bahagian dalam proses memasak bubur lambuk.
Turut bersama dalam program itu ialah pegawai daripada syarikat-syarikat yang beroperasi di POIC Lahad Datu, kakitangan POIC serta wakil pihak berkuasa tempatan.
Hasil kerjasama semua pihak, lebih 2,400 hidangan bubur lambuk berjaya disediakan untuk diagihkan kepada masyarakat sekitar Lahad Datu.
Turut hadir memberi sokongan ialah ahli-ahli lembaga pengarah POIC, Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos, wakil Pejabat Daerah Lahad Datu serta pegawai dari Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu.
Selain itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu serta wakil Sabah Ports turut hadir memeriahkan program berkenaan.
Program tersebut turut mendapat sokongan bahan daripada Adabi, antara jenama makanan terkemuka di Malaysia yang menjadi pelabur di POIC Lahad Datu sejak tahun 2025.
Madius berkata, penglibatan Adabi dalam program berkenaan mencerminkan komitmen syarikat itu dalam menyemarakkan semangat Ramadan selain menyokong usaha POIC Sabah membentuk komuniti pelaburan yang dinamik di kawasan perindustrian berkenaan.
Menurutnya, kehadiran pelabur seperti Adabi turut membuka peluang besar kepada pengeluar makanan yang beroperasi di POIC Lahad Datu untuk menembusi pasaran serantau.
Beliau berkata, wilayah Kerjasama Ekonomi Sub-Serantau BIMP-EAGA menawarkan potensi pasaran yang luas dengan lebih 80 juta penduduk.
Seiring dengan semangat Ramadan, Madius dan Fredian turut mengambil bahagian dalam proses mengacau bubur lambuk yang dimasak dengan pelbagai rempah sebelum sebahagiannya diagihkan kepada masyarakat setempat.
Program tahunan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pelabur, agensi kerajaan dan komuniti tempatan, malah memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga industri di POIC Lahad Datu.
Majlis berkenaan turut menyaksikan penyertaan beberapa wakil industri serta kakitangan syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian bersepadu itu.
Inisiatif CSR seperti ini diharap dapat terus memupuk semangat perpaduan serta meningkatkan hubungan antara sektor industri dan masyarakat setempat.
Program bubur lambuk tersebut menjadi antara aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh POIC Sabah sempena Ramadan bagi menyantuni komuniti di Lahad Datu.
































