Julita (kiri) menerima cenderamata daripada Rina selepas mesyuarat.
KOTA KINABALU: Platform seperti Jawatankuasa Tindakan Perpaduan Negeri Sabah (PADUNEGERI) memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat PADUNEGERI Sabah yang pertama bagi tahun ini di sini pada Isnin.
Menurutnya, platform seperti PADUNEGERI membolehkan pelbagai pihak membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus terpelihara.
“Platform seperti PADUNEGERI membolehkan kita membincangkan isu yang mungkin timbul dalam kalangan masyarakat serta mengambil langkah proaktif bagi memastikan keharmonian dan persefahaman terus dipelihara,” katanya.
Julita berkata, usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya dipikul sepenuhnya oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), sebaliknya memerlukan penglibatan serta komitmen pelbagai pihak berkepentingan.
“Tanggungjawab memperkukuh perpaduan tidak terletak pada satu agensi sahaja. Ia memerlukan sokongan rakan strategik, pemegang taruh serta kepimpinan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa PADUNEGERI berfungsi sebagai forum untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan, berkongsi perkembangan semasa yang timbul di peringkat masyarakat serta mencadangkan inisiatif bagi terus memperkukuh keharmonian dalam kalangan rakyat.
Jawatankuasa tersebut dianggotai wakil daripada pelbagai agensi kerajaan, jabatan berkaitan serta pemegang taruh yang terlibat dalam inisiatif perpaduan, dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah bertindak sebagai sekretariat.
Beliau turut berharap platform itu akan terus memperkukuh penyelarasan antara agensi serta meningkatkan usaha memelihara keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Pembantu Menteri KWKKR Datuk Rina Jainal, Setiausaha Tetap Datuk Maria Chong serta Pengarah JPNIN Sabah Rina Ab Harun.
































