Andi (dua dari kanan) ketika ditemui media.
TAWAU : Komuniti Madani berperanan besar dalam menyampaikan maklumat terkini kerajaan di peringkat akar umbi.
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata kerjasama antara pemimpin dan Komuniti Madani mampu menyebarluaskan maklumat dasar-dasar kerajaan ke peringkat akar umbi merangkumi kawasan pedalaman dan kampung-kampung.
“Saya berharap semua Komuniti Madani di peringkat parlimen Kalabakan ini dapat menjalankan tugas dengan baik dan bekerjasama dalam memastikan apapun isu dan perkara yang berlaku di peringkat persekutuan dapat diterangkan di peringkat kampung dan sebagainya.
“Sebab itu kita mengadakan pertemuan bersama 12 pemimpin Komuniti Madani Parlimen Kalabakan malam ini bersama-sama dengan Pejabat Penerangan Daerah Tawau, untuk merapatkan silaturrahim.
“Seterusnya meluaskan lagi jaringan hubungan dan memastikan gerak kerja penerangan dasar itu dapat diselaraskan bukan hanya di peringkat parlimen malah turun ke peringkat akar umbi melalui komuniti madani.
“Jadi, kita harapkan komuniti madani bersama jawatankuasa yang baru dilantik ini atau yang sedia ada dapat memainkan peranan mereka dengan aktif dalam memastikan isu semasa, dasar ataupu pun perkara yang melibatkan kerajaan madani ini dapat diterangkan dan disebarluaskan dengan baik, ” ujarnya ketika ditemui media dalam program Moreh Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat di sini, pada Ahad.
Andi turut berpesan kepada masyarakat sempena ketibaan Hari Raya agar berhati-hati dan mengikut peraturan yang ditetapkan di jalan raya.
“Hari raya semakin menjelang tiba, pesanan saya kepada yang balik merayakan agar berhati-hati di jalan raya, merancang perjalanan, kita akan menyaksikan satu jumlah aliran trafik yang agak luar biasa di daerah Tawau ini memandangkan ramai yang balik ke kampung merayakan bersama keluarga,” tambahnya.
Beliau turut berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menyelaraskan aliran trafik di kawasan yang agak sesak dan mencadangkan sekiranya boleh agar menempatkan beberapa pegawai di check point terutamanya mana-mana jalan memang sesak bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar.
































