Shahelmey bergambar bersama para hadirin.
PUTATAN: Persatuan berdaftar atau badan bukan kerajaan (NGO) digalakkan menjadi nadi penggerak dalam merealisasikan aspirasi Kerajaan Negeri bagi memastikan golongan yang memerlukan terus disantuni, khususnya di peringkat akar umbi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penglibatan aktif NGO mampu membantu membela nasib serta meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik, terutama di daerah Putatan.
Menurut beliau, dengan Aidilfitri yang semakin hampir, pelaksanaan inisiatif oleh NGO amat digalakkan agar lebih ramai golongan fakir miskin, asnaf dan mereka yang memerlukan dapat dibantu.
“Sudah tentu dalam keseronokan kita menyambut bulan Syawal pada minggu ini, janganlah kita melupakan golongan fakir miskin, asnaf dan mereka yang kurang bernasib baik.
“Meskipun pihak Kerajaan telah banyak melaksanakan pelbagai program bantuan dan kebajikan, NGO juga memainkan peranan penting dalam menyalurkan bantuan melalui pelaksanaan program kemasyarakatan mereka,” katanya selepas menghadiri program penyerahan bantuan bakul makanan anjuran Persatuan Wanita Perkasa Sabah (PWPS) yang diadakan di Dewan Mini Kampung Muhibbah, di sini, hari ini.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd berkata, program seperti itu amat digalakkan dan pihaknya sentiasa terbuka kepada mana-mana NGO yang ingin menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan di kawasan Parlimen Putatan.
“Bagi pihak kami di Putatan, program seperti ini amat dialu-alukan kepada mana-mana NGO yang mahu menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi PWPS, Salma Said; Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Sufian Matin; Pegawai Khas Pentadbiran dan Operasi Parlimen Putatan, Mahadzir Abd. Majid; serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar.
Dalam majlis berkenaan, Shahelmey turut menyampaikan bakul makanan kepada 34 penerima yang terdiri daripada golongan asnaf sekitar Putatan.
Beliau berkata, program seumpama ini merupakan antara inisiatif penting yang dilaksanakan oleh pelbagai pihak termasuk NGO bagi membantu masyarakat yang memerlukan.
“Program seperti ini adalah salah satu inisiatif signifikan dalam usaha menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO seperti PWPS.
“Kita berharap usaha seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa di samping kita dapat melaksanakan ibadah membantu mereka yang memerlukan bersempena bulan yang mulia ini,” katanya.
































