Anwar bersalaman dengan anggota keselamatan ketika berangkat menuju ke pesawat khas untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Terminal 2,LTAKK pada Ahad.
KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas menamatkan lawatan kerja sehari di Sabah, pada Ahad.
Pesawat khas yang membawa beliau berlepas dari Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada pukul 7.55 malam.
Sebelum keberangkatan, bacaan doa selamat dipimpin oleh Mohd Alwie Noorbati dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
Hadir mengucapkan selamat jalan kepada Perdana Menteri ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.
Sepanjang lawatan tersebut, Anwar menghadiri beberapa program utama termasuk Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Suria Sabah, sesi tinjauan di Bazar Ramadan Universiti Apartment, Sepanggar selain menyertai Majlis Berbuka Puasa bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS.
































