Hajiji bersama Anwar pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Bersama Perdana Menteri di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyambut baik pendekatan strategik Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat, termasuk penyaluran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjelang sambutan Aidilfitri bagi membantu persiapan perayaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, langkah itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Selain itu, beliau berkata, inisiatif bantuan khas RM400 menerusi program FlySiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), yang meliputi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena cuti Hari Raya, turut memberi manfaat besar kepada pelajar universiti.
“Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan tambahan RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung dan Sarawak sebagai subsidi tiket penerbangan pulang ke kampung halaman.
“Bagi pelajar yang menuntut di dalam negeri pula, mereka akan menerima RM300 seorang bagi menampung perbelanjaan perjalanan untuk pulang menyambut Aidilfitri,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini hari ini.
Hajiji berkata, pelbagai insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.
Pada masa sama, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkukuh pembangunan negara dan memacu kemajuan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.
Beliau menambah bahawa kepimpinan Perdana Menteri berjaya memulihkan dan memperkukuh ekonomi negara dengan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan.
Malaysia, katanya, merekodkan pelaburan tertinggi dalam sejarah tahun lalu berjumlah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding 2024, melibatkan lebih 8,000 projek pelaburan yang berpotensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat.
Hajiji berkata, pengukuhan nilai ringgit turut mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI.
Sebelum menghadiri majlis itu, Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri turut mengunjungi Bazar Ramadan serta bertemu orang ramai di Universiti Apartment (UA), Sepanggar.
































