Joniston (enam dari kanan), Dr. Sabin (enam dari kiri) dan Wong (lima dari kanan) bergambar bersama ahli Jawatankuasa Pengurusan Kampung Botani DBKK.
KOTA KINABALU: Sebuah penempatan kira-kira 150 buah rumah berhampiran Taman Botani Tun Fuad Stephens di Bukit Padang akan diurus dan dibangunkan sebagai Kampung Botani di bawah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen DBKK untuk mentransformasikan kawasan berkenaan menjadi tarikan pelancongan mampan dalam bandar.
“Tanah tersebut milik DBKK, manakala rumah-rumah di situ adalah milik rakyat tempatan Sabah.
“Mereka yang mempunyai rumah di situ akan dibenarkan untuk terus tinggal, namun perlu mematuhi garis panduan pembangunan yang ditetapkan oleh DBKK,” katanya pada majlis penyampaian surat pelantikan Jawatankuasa Pengurusan Kampung Botani DBKK di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah; Ketua Pengarah DBKK, Datuk Lifred Wong serta pegawai-pegawai kanan DBKK.
Joniston, yang portfolionya termasuk menyelia DBKK berkata, penubuhan jawatankuasa pengurusan itu merupakan langkah penting bagi memastikan perancangan yang teratur serta penyertaan komuniti dalam pembangunan kawasan berkenaan.
Beliau menambah, kawasan itu mempunyai potensi besar untuk menyokong agenda bandar hijau Kota Kinabalu di samping menyumbang kepada penawaran eko-pelancongan bandar yang lebih tersusun di bawah konsep Pelancongan Berasaskan Komuniti (CoBT).
“Kampung Botani ini akan berfungsi sebagai tarikan eko-pelancongan dalam bandar, yang merupakan sebahagian daripada pelan komprehensif DBKK untuk membangunkan lebih banyak produk pelancongan di Kota Kinabalu,” katanya sambil menambah ia akan memperkasa penduduk sebagai pihak berkepentingan aktif dalam memelihara alam sekitar.
Joniston berkata, dengan Kota Kinabalu dijangka menerima lebih banyak kapal persiaran serta pelancong yang singgah dalam tempoh singkat di bandar ini, terdapat keperluan untuk menyediakan lebih banyak produk pelancongan dalam bandar itu sendiri.
“Kita mesti memastikan terdapat tarikan yang sesuai untuk pelawat, walaupun mereka hanya berada di sini untuk tempoh yang singkat,” katanya.
































