Jamawi berswafoto bersama dengan graduan Pusat Latihan Belia KPD-OISCA.
TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Haji Jamawi Jaafar menyeru para graduan Pusat Latihan Belia KPD-OISCA untuk meluaskan minda dan menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya, bagi memastikan sektor pertanian di Sabah terus berkembang maju.
“Sekiranya terdapat tanah yang belum diusahakan di kampung halaman, kuatkan tekad dan semangat anda untuk menjadi perintis dan agropreneur muda mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang telah diperolehi,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Ke-42 Pusat Latihan Belia KPD-OISCA Tenom di Dewan Serbaguna KPD-OISCA, di sini, hari ini.
Jamawi yang juga ADUN Melalap, menegaskan majlis tersebut sangat bermakna bagi para graduan yang telah menjalani latihan selama 16 bulan, menimba ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang pertanian.
“Jangan malu menjadi petani…”, kata Jamawi memberikan semangat kepada semua graduan.

Jamawi (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan bersama dengan semua graduan dan tetamu kehormat.
Pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menyokong turut mendapat pengiktirafan kerana peranan mereka membentuk generasi muda menjadi insan berguna.
Jamawi menekankan bahawa program latihan yang ditawarkan selaras dengan hala tuju Kerajaan dalam memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian bagi memastikan keterjaminan dan keselamatan makanan negara pada masa hadapan.
Selain mengikuti kurikulum yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia, pusat latihan ini juga menerapkan budaya latihan daripada OISCA Jepun yang menekankan kemapanan pengurusan pertanian, perhutanan dan konservasi alam sekitar.
Sejak penubuhannya, pusat ini mengamalkan prinsip ‘self-reliance’ dan ‘self-sufficient’ melalui pengeluaran beras, sayur-sayuran dan ternakan sendiri tanpa bergantung pihak ketiga, selaras dengan konsep ‘Inisiatif Kebun Dapur’ yang diperkenalkan kepada rakyat Sabah.

Jamawi (tengah) bergambar bersama dengan graduan selepas majlis konvokesyen itu.
Jamawi berkata, masyarakat akan mendapat manfaat daripada penjimatan kos pembelian bahan asas makanan seperti daging ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan, selain menjana pendapatan melalui jualan lebihan hasil pertanian.
Nilai hidup sihat melalui pemakanan sayur-sayuran dan buah-buahan yang bernutrisi juga dapat diterapkan dalam komuniti.
Dalam usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bersama OISCA International Japan, membolehkan beberapa pelajar cemerlang dihantar ke Jepun untuk menjalani latihan selama 1 hingga 3 tahun.
Jamawi berharap konsep dan sistem pertanian moden yang dipelajari di sana dapat diaplikasikan kembali di Sabah.
Mengucapkan tahniah kepada semua graduan, tenaga pengajar dan ibu bapa, beliau menyeru belia mahir yang diraikan hari ini untuk mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh, menjadi perintis dalam bidang pertanian, serta menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negeri.
Turut hadir Pembantu Menteri I, Datuk Haji Ruslan Muharam; Datuk Yussof Abdul Manan, Pengerusi Lembaga Pengarah KPD; Pengurus Besar KPD, Jailis Masarip; Penolong Setiausaha Kanan Kementerian, Rafidah Haji Raplee; Konsul Jeneral Jepun; Yamashita Yoshito dan Penolong Pegawai Daerah Tenom, Marcellus Joannes mewakili Pegawai Daerah Tenom.
































