Dr. Joachim bersama AMT PBS.
PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan sokongan penuh terhadap Kerajaan Madani serta komitmen untuk memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan yang akan berlangsung esok.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, PBS akan bekerjasama secara erat dan menyeluruh dengan jentera BN bagi memastikan kemenangan calon BN, sekali gus mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan.
“PBS kekal konsisten dengan pendirian politiknya dan akan memberikan sokongan sepenuhnya kepada calon BN dalam PRK DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
“Kerjasama ini selari dengan semangat mengekalkan kestabilan politik serta sokongan terhadap Kerajaan Madani,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBS yang pertama bagi tahun 2026 di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PBS, di sini, hari ini.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa PBS tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan parti.
“Sekiranya terdapat mana-mana ahli yang ingkar atau bertindak bertentangan dengan arahan parti, perkara tersebut akan disiasat dan tindakan sewajarnya akan diambil,” tegasnya.
Menurut beliau, mesyuarat tersebut turut membincangkan hala tuju strategik serta langkah ke hadapan parti dalam memperkukuh peranan PBS sebagai parti tempatan yang relevan dan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
“PBS akan terus memainkan peranan konstruktif dalam landskap politik negeri dan Persekutuan, di samping memperkukuh kerjasama dalam gabungan demi kestabilan serta kemajuan Sabah,” katanya.






























