Masidi diberi taklimat inovasi pam air oleh Politeknik Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkukuh agenda pembangunan rendah karbon sebagai strategi utama untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan, meningkatkan daya tahan negeri serta menarik lebih banyak pelaburan berkualiti selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pembangunan rendah karbon bukan lagi sekadar agenda pemuliharaan alam sekitar, malah telah menjadi keperluan ekonomi yang penting bagi memastikan Sabah terus berdaya saing dalam landskap ekonomi global yang semakin menekankan amalan kelestarian serta piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan tersendiri menerusi kekayaan biodiversiti, hutan tropika dan ekosistem marin yang luas, selain potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro mini dan biojisim.
“Sabah mempunyai kelebihan tersendiri menerusi kekayaan biodiversiti, hutan tropika, ekosistem marin serta potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui seperti solar, hidro mini dan biojisim yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi hijau serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya ketika merasmikan Simposium Sabah Low Carbon (SLC) 2026 bertemakan “Pathway to Net Zero, Resilience and Green Growth” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Masidi berkata, peralihan kepada ekonomi rendah karbon hanya dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, institusi kewangan, akademia, pertubuhan masyarakat sivil dan golongan belia.
Katanya, kerjasama pelbagai pihak itu penting dalam usaha memperluas pembiayaan hijau, menggalakkan inovasi, mengurangkan pelepasan karbon serta melahirkan modal insan yang bersedia menghadapi keperluan ekonomi masa depan.
Beliau turut memuji inisiatif Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah yang berjaya menghimpunkan pelbagai pihak dalam satu platform bagi membincangkan penyelesaian praktikal ke arah pembangunan hijau.
Masidi berkata, penglibatan mahasiswa dalam program tersebut merupakan petanda positif dalam usaha melahirkan generasi peneraju ekonomi hijau pada masa hadapan.
“Program ini bukan sekadar menjadi medan perbincangan, malah mampu menghasilkan cadangan yang boleh dilaksanakan, memperkukuh kerjasama strategik serta merangsang pelaburan yang memberi impak kepada pembangunan mampan negeri,” katanya.
Beliau berharap simposium berkenaan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dan kerjasama strategik dalam mempercepatkan peralihan Sabah ke arah ekonomi rendah karbon yang lebih berdaya tahan dan mampan.
Turut hadir Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Prof. Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed; Yang Dipertua Persatuan Alumni UiTM Sabah, Azhar Matussin; Timbalan Yang Dipertua Persatuan Alumni UiTM Sabah, Sazali Md. Salleh; Pengerusi Sabah Low Carbon Symposium 2026, Dr. Noorhaizah Ramzah serta tetamu jemputan lain.




























