KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah terus memperkukuh penguatkuasaan Akta Perlindungan Pengguna 1999 apabila berjaya memperoleh sabitan terhadap sebuah syarikat yang melakukan kesalahan berterusan kerana gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) walaupun telah disabitkan atas kesalahan sama sebelum ini.
Dalam prosiding di Mahkamah Majistret 3 Kota Kinabalu, Alex Contractor Sdn. Bhd. mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 117(2) Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana terus gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia No. TTPM-SAB-(P)-34-2025 bertarikh 21 April 2025.
Award tribunal tersebut mengarahkan syarikat berkenaan membayar RM50,000 kepada pihak yang membuat tuntutan.
Majistret, Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman denda RM20,300 atau enam minggu penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Syarikat terbabit bagaimanapun telah menjelaskan denda yang dikenakan oleh mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Pendakwa T/K Gunasegaran Krishnan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kes tersebut merupakan kesalahan berterusan selepas syarikat itu sebelum ini telah disabitkan di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 pada 2 Disember 2025 kerana gagal mematuhi award tribunal yang sama.
“Walau bagaimanapun, syarikat masih gagal melaksanakan award tersebut sehingga menyebabkan tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 117(2) diambil.
“Penalti tambahan yang dikenakan oleh mahkamah adalah berdasarkan tempoh 203 hari kesalahan itu berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Seksyen 117(2) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang terus gagal mematuhi Award Tribunal selepas disabitkan di bawah Seksyen 117(1) boleh dikenakan penalti tambahan berupa denda tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada hari sepanjang kesalahan itu berterusan.
Shahril berkata, KPDN Sabah memandang serius kegagalan mana-mana pihak mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia.
“Tindakan ini mencerminkan komitmen KPDN dalam melindungi hak pengguna, memastikan setiap award tribunal dihormati serta dipatuhi.
“Ia juga memberi mesej jelas bahawa kegagalan mematuhi award tribunal merupakan suatu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang aduan berkaitan kepenggunaan melalui saluran yang disediakan KPDN.
Aduan boleh disalurkan menerusi WhatsApp di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.






























