Liew berucap pada majlis tersebut.
TAWAU: “Tiada siapa akan ditinggalkan.” Itulah janji penuh makna disampaikan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah dalam majlis mesra bersama masyarakat Cina di Gudang 4, di sini, semalam.
Liew menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal komited memastikan setiap rakyat Sabah mendapat perhatian dan peluang sama rata dalam arus pembangunan negeri.
“Kita tidak mahu sesiapa dipinggirkan, tidak kira kaum atau latar belakang. Semua berhak menikmati pembangunan dan kemajuan negeri ini,” katanya disambut sorakan gemuruh hadirin.
Menurut beliau, kepimpinan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor serius mahu memastikan kemajuan berlaku seiring di bandar, pinggir bandar mahupun kampung — tanpa ada sesiapa yang tertinggal di belakang.
“Sabah Maju Jaya bukan hanya slogan, tetapi satu gerakan untuk memastikan setiap komuniti, setiap suara dan setiap rakyat mendapat tempat dalam pembangunan negeri,” ujarnya penuh semangat.
Majlis yang turut dihadiri Timbalan Presiden dan Naib Presiden PHRS itu berlangsung dalam suasana meriah, mencerminkan semangat perpaduan serta sokongan padu rakyat terhadap agenda pembangunan GRS.
Liew turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Lim Yin Kat serta masyarakat Gudang 4 yang menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran program tersebut.
“Kekuatan kita ialah perpaduan. Bila rakyat bersatu hati, tiada halangan yang tidak mampu kita atasi,” katanya sambil menerima tepukan gemuruh daripada ratusan hadirin yang memenuhi dewan.
Suasana malam itu menjadi simbol kebangkitan semangat baharu rakyat Tawau untuk terus bersama kepimpinan negeri demi memastikan Sabah terus melangkah maju di bawah panji Sabah Maju Jaya (SMJ).


































