Hajiji bergambar kenang-kenangan bersama Felo SMJ 4.0.
KOTA KINABALU: Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri terbukti berjaya membuka laluan kepada anak muda Sabah untuk berkembang serta menyumbang secara langsung kepada ekosistem pembangunan negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
“Program Felo SMJ merupakan platform penting bukan sahaja untuk membina pengalaman, tetapi juga membentuk jati diri, integriti serta ciri kepimpinan unggul.
“Ia seiring dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam kerangka Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menekankan pembangunan modal insan sebagai nadi utama dalam membina masa depan negeri yang mampan dan berdaya saing,” katanya.
Hajiji berkata demikian pada majlis penyampaian watikah kepada 42 peserta Felo SMJ 4.0 di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berswafoto bersama Felo SMJ 4.0.
“Kita tidak hanya mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi yang lebih penting, pemimpin yang berjiwa rakyat — yang mampu menyelami denyut nadi komuniti, membawa suara rakyat ke meja dasar, dan menjunjung semangat cintakan negeri melebihi kepentingan diri,” katanya.
Ketua Menteri berharap para felo akan menjadi pemangkin perubahan dengan menyemarakkan obor kepimpinan yang ikhlas, berani dan berpandangan jauh demi menjadikan Sabah lebih maju, bersatu dan berjaya.
Beliau menyeru para felo supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut untuk memahami dunia sebenar pentadbiran Kerajaan Negeri — termasuk bagaimana dasar digubal, keputusan dibuat, dan jentera kerajaan digerakkan untuk kepentingan rakyat.
“Jadikan tempoh sebagai felo ini medan kepimpinan untuk membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian. Letakkan integriti sebagai teras diri.
“Ambillah peluang ini untuk membuktikan bahawa anak muda mampu mengemukakan idea bernas, menawarkan penyelesaian berani dan memimpin melalui tindakan yang berkesan,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa golongan belia bukan sekadar pelapis, tetapi aset penting dan pewaris masa depan yang sedang dibentuk hari ini.
“Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua Felo SMJ. Jadikan pengalaman ini sebagai permulaan perjalanan kepimpinan yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan negeri. Harapan saya agar generasi muda ini meneruskan legasi kepimpinan demi membawa Sabah ke arah masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau turut memuji syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengambil bahagian dalam program berkenaan atas komitmen dan konsistensi mereka dalam menyokong pembangunan modal insan di Sabah.
“Saya dimaklumkan bahawa kali ini sebanyak 20 GLC terlibat dalam pelaksanaan program Felo SMJ, berbanding hanya 10 sebelum ini. Peningkatan ini bukan sekadar angka, tetapi manifestasi kepercayaan serta sokongan padu yang mencerminkan kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri dan GLC dalam melahirkan barisan pemimpin muda masa depan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa ramai felo telah ditawarkan peluang menyertai GLC masing-masing selepas tamat program. Ini merupakan perkembangan yang amat membanggakan,” katanya.
Hajiji turut menyanjung usaha berterusan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) dalam merangka serta melaksanakan program yang menjadi medan penting mengasah bakat kepimpinan, membina daya saing, dan mempersiapkan generasi pelapis negeri ke arah masa depan yang lebih berdaya maju.


































