Situasi semasa acara futsal berlangsung.
KOTA KINABALU : Seramai 150 belia daripada Komuniti Madani sekitar Inanam menyertai acara santai, sukan futsal sempena Program Cerita Dulu Bah!
Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, Azean Makbul berkata sukan futsal bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya menjadi wadah mengukuhkan semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan ahli Komuniti Madani.
“Komuniti yang terlibat dalam program malam ini ialah Mukim Manggatal, Kampung Kobuni, Persatuan Belia Inspirasi Lobou, Persatuan Belia Progresif Kobuni dan Persatuan Inanam Commerce.
“Futsal dipilih kerana ia merupakan sukan indoor yang diminati ramai dan mudah dikendalikan. Ia juga selaras dengan usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan belia.
“Seramai 150 belia terlibat dalam pertandingan ini dan program seumpama akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memperkukuh jaringan sosial komuniti serta menyokong agenda Malaysia Madani di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui di Borneo Sports Arena (BSA), Kolombong, pada Ahad.
Sementara itu, Penyelaras Komuniti Madani Mukim Manggatal, Nickho Unoi, 40, berkata aktiviti sukan seperti futsal memberi impak positif bukan sahaja terhadap kesihatan fizikal, malah kesejahteraan sosial masyarakat.
“Program komuniti seperti futsal ini bagus untuk kesihatan dan kecergasan. Selain itu, ia dapat mengeratkan hubungan antara ahli komuniti, khususnya dalam kalangan belia.
“Penganjuran aktiviti santai seperti ini juga memberi ruang kepada anak muda untuk berinteraksi secara sihat dan menjauhkan diri daripada gejala sosial,” ujarnya.




























