Hajiji (berdiri di tengah) bersama murid-murid SAN Pekan Tambunan.
TAMBUNAN: Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan yang terjejas oleh kebakaran pada 12 Oktober lalu menerima sumbangan berjumlah RM260,000 daripada Kerajaan Negeri, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Sumbangan berkenaan meliputi RM200,000 daripada Kerajaan Negeri bagi pembelian kerusi, meja dan kelengkapan sekolah, RM50,000 daripada YKS serta RM10,000 daripada MUIS.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan sumbangan tersebut semasa lawatannya ke sekolah berkenaan hari ini. Guru Besar, Ustaz Ahmad Subri Janing menerima sumbangan bagi pihak sekolah.

Hajiji meninjau bangunan sekolah yang musnah dalam kebakaran di SAN Pekan Tambunan.
YKS turut menyerahkan bantuan wang tunai dan barangan keperluan kepada 20 pelajar asrama serta 100 murid yang terjejas akibat kebakaran itu.
Hajiji berkata, sudah tiba masanya SAN Pekan Tambunan, yang ditubuhkan pada tahun 1970-an, mempunyai bangunan tetap sendiri.
“Atas permintaan pihak sekolah, saya mencadangkan agar SAN Pekan Tambunan dibina semula. Kerajaan Negeri akan meluluskan peruntukan yang diperlukan dan saya datang hari ini untuk melihat sendiri bagaimana kita dapat membantu,” katanya.
Kebakaran pada petang 12 Oktober itu memusnahkan dua bangunan termasuk bilik darjah dan asrama, manakala kuarters guru turut terjejas.
Turut hadir ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif, Pegawai Daerah Sobitun Makajil, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Jumain Abdul Ghani serta Pengarah YKS Datuk Diyanah Abdullah.
































