Masiung bersalaman dengan atlet SAGA sambil diiringi Yuesri (kanan sekali).
TONGOD: Golongan muda di Sabah diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sentimen politik berasaskan hasutan yang ditiupkan oleh pemimpin tamakkan kuasa, sebaliknya berfikir positif dan mengekalkan semangat kebersamaan demi kestabilan negeri.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, sudah tiba masanya generasi muda menjadi benteng utama mempertahankan kestabilan politik supaya kerajaan negeri hari ini dapat meneruskan pelan pembangunan yang dirancang untuk rakyat.
“Sudah tiba waktunya anak muda berfikir positif, mendekap erat konsep kebersamaan dan menolak budaya politik yang memecahbelahkan. Hanya dengan kestabilan politik kita boleh menjamin kesinambungan pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak Tertutup 9 Sebelas Piala DMB di padang permainan Kampung Sanan dan Semundu di sini semalam, yang disertai 32 pasukan. Masiung turut menyerahkan 55 set jersi kepada pasukan bertanding.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan upacara pelepasan 155 atlet remaja Tongod yang akan menyertai Sukan Sabah (SAGA) XI di Tawau mulai 11 Oktober ini.
Masiung yang juga penyandang ADUN Kuamut berkata, kestabilan politik negeri amat penting agar segala rancangan pembangunan yang sedang dilaksanakan kerajaan sedia ada tidak terganggu.
Katanya, Sabah sebelum ini telah melalui tiga fasa peralihan kerajaan dan tiga Ketua Menteri dalam tempoh dua penggal, menjadikan landskap politik negeri ini tidak stabil serta merugikan rakyat.
“Bayangkan pelan pembangunan lima tahun tergendala apabila kerajaan bertukar, Ketua Menteri bertukar, pegawai bertukar dan dasar baharu diperkenalkan. Belum sempat dilaksanakan, kerajaan bertukar lagi — akhirnya rakyat yang rugi,” ujarnya.
Beliau menambah, Sarawak menjadi contoh terbaik apabila menikmati kestabilan politik selama lebih 60 tahun tanpa pertukaran kerajaan, hanya pertukaran Premier selepas tamat penggal.
“Politik mereka stabil, sedangkan Sabah sudah bertukar kerajaan sebanyak 16 kali,” katanya.
Mengulas mengenai pembinaan Kompleks Sukan Tongod yang tergendala, Masiung menjelaskan kontraktor dilantik kerajaan terdahulu gagal menyiapkan projek mengikut jadual, sekali gus memberi ruang kepada pembangkang untuk menjaja cerita negatif menjelang pilihan raya.
“Kompleks itu pada asalnya dicadang sebagai pusat kecemerlangan sukan di pedalaman. Namun jika kerajaan bertukar lagi, pasti dasar baharu akan diperkenalkan dan projek ini berisiko menjadi gajah putih,” tegasnya.


































