Dr Joachim (tiga dari kanan) menerima cendera mata daripada Pengerusi Persatuan Akitek Malaysia Cawangan Sabah, Ar Daniel Koh.
KOTA KINABALU: Transformasi Sabah ke arah hab ekonomi bertaraf dunia dan pembangunan bandar pintar dilaksanakan berpaksikan kepada wawasan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menekankan keseimbangan pembangunan melalui inovasi digital, kelestarian alam sekitar dan pembangunan modal insan, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurut beliau, wawasan itu mencerminkan hasrat jangka panjang Kerajaan Negeri semasa untuk memastikan Sabah menjadi negeri yang bersatu, aman, makmur dan maju.
Beliau berkata, wawasan SMJ turut selaras dengan agenda pembangunan negara di bawah Malaysia Madani dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, dengan tumpuan kepada pengoptimuman sumber negeri, pemulihan serta pemerkasaan ekonomi, dan pembangunan insan.
“Kerajaan semasa telah lama menyasarkan untuk menjadikan Sabah sebuah hab ekonomi bertaraf dunia dan negeri bandar pintar. Ini sejajar dengan wawasan SMJ untuk membentuk sebuah negeri dan masyarakat yang bersatu, aman, makmur serta maju,” kata ketika menyampaikan ucaptama pada perasmian Borneo Architecture Festival (BAF) 2025 di The Magellan Sutera Resort di sini hari ini.
Dr. Joachim berkata, usaha Kerajaan Negeri membangunkan bandar pintar di beberapa lokasi strategik di Sabah dilaksanakan melalui Pelan Strategik Kerajaan Digital, yang bertujuan mewujudkan ekosistem ekonomi digital bagi memberi manfaat langsung kepada rakyat.
Katanya, inisiatif itu menyokong teras ketiga wawasan SMJ, iaitu pembangunan rangkaian infrastruktur dan kelestarian hijau, dengan tumpuan kepada pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur darat, laut, udara dan komunikasi.
“Pembangunan bandar pintar ini juga bertujuan untuk mendigitalkan perkhidmatan kerajaan, meningkatkan aksesibiliti dan kesamarataan agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati kemudahan infrastruktur yang disediakan,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan bandar pintar bukan sekadar memperkenalkan teknologi moden, tetapi turut memberi penekanan kepada kelestarian dan keterangkuman agar setiap pembangunan memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat.
Beliau berkata, tema Borneo Architecture Festival tahun ini, “Rewire // Rewild: Transforming Cities // Back to Nature” menggambarkan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pemuliharaan alam semula jadi. Konsep “Rewire” merujuk kepada perubahan minda ke arah bandar pintar dan gaya hidup berasaskan teknologi, manakala “Rewild” menekankan integrasi seni bina dengan alam semula jadi melalui reka bentuk biophilic dan biomimikri.
Dr. Joachim turut mengingatkan bahawa proses pemodenan dan urbanisasi yang pesat di Sabah boleh mengancam identiti budaya serta warisan semula jadi negeri jika tidak ditangani secara berhati-hati.
“Dalam mengejar kemajuan dan inovasi, kita juga perlu memastikan warisan budaya terus dipelihara dan dipertahankan. Kita mesti memupuk semangat memiliki dan menghargai keindahan bumi Borneo yang kita diami ini,” tegasnya.
Beliau turut menyeru para pembuat dasar serta penjawat awam agar memahami kesan jangka panjang setiap keputusan pembangunan terhadap masyarakat dan alam sekitar.
Dr. Joachim juga merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah atas kerjasama berterusan dengan kementeriannya dalam memperkukuh dasar pembangunan, mempercepat proses pembinaan dan mempromosikan reka bentuk mampan.
Beliau yakin, festival seperti BAF 2025 mampu menjadi platform penting untuk memupuk kerjasama antara kerajaan, profesional, pemaju dan masyarakat umum bagi merealisasikan pembangunan Sabah yang lebih pintar, hijau dan inklusif.
“Saya berharap melalui penganjuran festival ini, pertukaran idea dan pandangan akan terus mencetuskan inovasi serta memperkukuh pembangunan ekonomi serantau,” katanya .
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, TPr Stanley Chong; Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr Lifred Wong; Naib Presiden Persatuan Arkitek Malaysia, Ar Pengerusi Penganjur Borneo Architecture Festival 2025, Ar Sharon M Amin dan Pengerusi, of PAM Sarawak Chapter, Ar Noraini Noradden.


































