Dr. Ritchie bergambar kenangan bersama pasukan bola ragbi Sharks Kota Kinabalu di Padang Ragbi Tanjung Aru.
KOTA KINABALU: Semangat kesukanan dan perpaduan terus disemarakkan apabila Ahli Jawatankuasa Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru, Dr. Ritchie Jay Cheng menyampaikan sumbangan dana kepada Pasukan Kelab Bola Ragbi Sharks Kota Kinabalu yang bakal mewakili daerah dalam Temasya Sukan Sabah (SAGA) 2025 di Tawau dari 12 hingga 15 Oktober ini.
Majlis penyerahan sumbangan yang diadakan secara ringkas di Padang Ragbi Tanjung Aru — gelanggang latihan rasmi pasukan itu — turut memperlihatkan keakraban Dr. Ritchie bersama para pemain muda, kebanyakan daripada mereka anak jati Tanjung Aru yang bersemangat tinggi mengharumkan nama daerah.
Dalam ucapannya, Dr. Ritchie menzahirkan rasa bangga terhadap semangat juang, disiplin dan kesungguhan pasukan Sharks yang dilihat mampu menjadi inspirasi kepada generasi muda lain di Sabah.
“Pasukan Ragbi Sharks bukan sekadar membawa nama daerah, tetapi mencerminkan semangat perpaduan, disiplin dan kekuatan generasi muda yang menjadi tulang belakang pembangunan Sabah.
Sukan ini bukan hanya tentang kemenangan di padang, tetapi tentang membina karakter dan semangat kebersamaan,” katanya.
Beliau menegaskan, sokongan terhadap aktiviti sukan harus dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan insan dan sosial yang inklusif, sejajar dengan hasrat kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan rakyat sejak tahun 2020.
“Menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang, marilah kita terus mengekalkan politik harmoni berasaskan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Gagasan Rakyat Tanjung Aru akan terus menyokong inisiatif membina, terutama dalam melahirkan lebih ramai bakat muda dalam bidang sukan dan kepimpinan,” tambahnya.
Pasukan Ragbi Sharks Kota Kinabalu dijangka berentap dengan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh Sabah dalam SAGA 2025. Sumbangan yang disampaikan diharap dapat membantu dari segi persiapan logistik, kelengkapan pasukan serta latihan intensif, sekali gus meningkatkan keyakinan pemain untuk membawa pulang kejayaan.
Kenyataan ini turut mencerminkan semangat “Dari Tanjung Aru Untuk Sabah” — menjadikan sukan sebagai jambatan perpaduan dan simbol kemajuan komuniti muda negeri ini, seiring aspirasi Gagasan Rakyat membina masyarakat yang bersatu, progresif dan berdaya saing.


































