Pasukan bola keranjang Exco Pemuda PBS bersama komuniti bola keranjang serta barisan Exco dan Pemuda PBS dari beberapa bahagian sebelum memulakan perlawanan persahabatan di Dewan Serbaguna Damai, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Exco Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) terus memperkukuhkan hubungan dengan golongan belia menerusi penganjuran perlawanan persahabatan bola keranjang yang menghimpunkan pemain dan peminat sukan itu dari sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Papar.
Program yang berlangsung di Dewan Serbaguna Damai di sini kelmarin disertai belia dari beberapa kawasan termasuk Kepayan, Api-Api, Likas, Tanjung Aru, Limbahau dan Moyog.
Penganjuran aktiviti itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan anak muda, di samping mengeratkan silaturahim serta memperkukuhkan jaringan persahabatan antara Pemuda PBS dan komuniti belia melalui sukan.
Pegawai Penerangan Exco Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun berkata, pendekatan seperti itu membolehkan Pemuda PBS mendekati lebih ramai golongan muda dalam suasana santai sambil memupuk semangat kesukanan, perpaduan dan kerjasama.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi ruang kepada belia untuk bersukan dan mengamalkan gaya hidup sihat, malah menjadi platform bagi mengukuhkan hubungan antara Pemuda PBS dan komuniti belia di pelbagai kawasan,” katanya.
Program itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin Exco Pemuda PBS Pusat, antaranya Alan Lim selaku Ketua Pasukan, Gerrard Chia, Louis Lai selaku Timbalan Ketua Exco Pemuda PBS merangkap Ketua Bahagian PBS Tanjung Aru, Steve Johnny Mositun selaku Ketua Penerangan Exco Pemuda PBS merangkap Ketua Pemuda PBS Limbahau, Soo Chee Yong selaku Ketua Bahagian PBS Likas, Markely selaku Ketua Pemuda PBS Moyog, Matthew selaku Ketua Pemuda PBS Kepayan serta Adrian yang mewakili Pemuda PBS Bahagian Api-Api.
Steve berkata, program seumpama itu akan terus diperluaskan dari semasa ke semasa sebagai platform untuk mendekati belia, menggalakkan penyertaan dalam aktiviti sihat serta memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda di Sabah.


































