KOTA KINABALU: Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden Kali Ke-42 Tahun 2026 yang dijadual berlangsung di Tawau pada 25 hingga 27 September ini dijangka menghimpunkan seramai 242 atlet daripada 22 Ahli Gabungan Persatuan Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA) yang mewakili daerah-daerah di seluruh negeri.
Setiausaha Kehormat ASTAKA, Suhaimi Abdullah berkata, kejohanan berprestij itu akan mempertandingkan empat kategori utama iaitu Regu Lelaki, Regu Wanita, Quadrant Lelaki dan Quadrant Wanita.
Beliau berkata, kejohanan berkenaan bukan sahaja menjadi platform untuk mengenal pasti bakat-bakat baharu, malah medan terbaik dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim serta semangat kesukanan dalam kalangan warga sepak takraw Sabah.
Perkara itu dimaklumkan selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi ASTAKA Bil. 3/2026 yang diadakan di Howard Johnson Hotel, di sini, pada Sabtu dan dipengerusikan Presiden ASTAKA, Datuk Roslie Ibrahim.
Mesyuarat berkenaan membincangkan pelbagai agenda penting berkaitan pembangunan dan hala tuju sukan sepak takraw di Sabah, termasuk persiapan penganjuran Kejohanan Piala Presiden yang merupakan antara acara utama dalam kalendar tahunan persatuan.
Sementara itu, Roslie yang juga Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berharap semua pihak termasuk Ahli Gabungan, jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan dan rakan strategik dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan kejohanan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Beliau berkata, kejohanan tersebut merupakan platform penting untuk mencungkil bakat-bakat baharu dari seluruh pelusuk Sabah sebagai pelapis pasukan negeri, di samping memperkukuhkan perpaduan dan semangat kekeluargaan dalam kalangan komuniti sepak takraw.
Dalam mesyuarat itu, Roslie turut memaklumkan bahawa ASTAKA telah menerima kelulusan bagi pembinaan Dewan Akademi Sepaktakraw ASTAKA Sabah yang bakal menjadi aset penting persatuan dalam memperkukuhkan program pembangunan sukan berkenaan di negeri ini.
Katanya, pembinaan dewan akademi itu dijangka menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan lebih ramai atlet berkualiti, jurulatih serta pegawai teknikal yang berdaya saing.
Beliau berkata, kemudahan berkenaan juga akan membantu memastikan kesinambungan kecemerlangan pasukan sepak takraw Sabah yang muncul sebagai antara penyumbang pingat emas terbanyak kepada kontinjen negeri pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sejak lebih sedekad lalu.
Roslie menegaskan ASTAKA komited untuk terus memperkasa pembangunan sukan sepak takraw di semua peringkat bagi memastikan Sabah kekal sebagai antara kuasa utama sepak takraw negara.































