James Ratib
KOTA KINABALU: Perlindungan data peribadi perlu diberi perhatian serius seiring dengan perkembangan pesat teknologi digital bagi memastikan transformasi sektor kesihatan berlaku secara selamat, bertanggungjawab dan diyakini rakyat.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, agenda pendigitalan dan inovasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan strategik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih cekap, inklusif dan berdaya tahan.
Beliau berkata, teknologi, data dan inovasi kini menjadi pemacu utama perubahan dalam hampir semua sektor termasuk penjagaan kesihatan, namun kemajuan digital itu perlu bergerak seiring dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh serta perlindungan data peribadi yang berkesan.
“Kita sedang berada dalam satu era di mana teknologi, data dan inovasi menjadi pemacu utama kepada perubahan dalam hampir semua sektor, termasuk sektor penjagaan kesihatan.
“Namun, kemajuan digital ini perlu bergerak seiring dengan tadbir urus data yang baik, keselamatan maklumat yang kukuh dan perlindungan data peribadi yang berkesan,” katanya ketika merasmikan PDPA Connect Sabah 2026: “Towards a Smart and Safe Healthcare Data Ecosystem” di Dewan Bankuasi, Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron.

Jordan (tiga dari kanan) menerima cenderamata daripada Luqman dalam majlis tersebut.
James berkata, tema program itu membawa mesej penting bahawa masa depan sektor kesihatan bukan sahaja bergantung kepada keupayaan menggunakan teknologi pintar, tetapi juga keupayaan memastikan data kesihatan diurus secara selamat, bertanggungjawab dan dipercayai.
Katanya, data memainkan peranan besar dalam membantu pengamal kesihatan membuat keputusan lebih tepat, menambah baik operasi hospital, menyokong penyelidikan serta membantu perancangan dasar dan pembangunan inovasi baharu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan ekosistem kesihatan digital perlu memberi perhatian yang sama penting kepada aspek keselamatan dan perlindungan data.
“Teknologi yang baik bukan hanya teknologi yang mampu memudahkan urusan, tetapi teknologi yang mampu melindungi kepentingan rakyat,” katanya.
James berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan terhadap pembangunan yang seimbang, progresif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya, sektor kesihatan mempunyai kedudukan penting kerana kesihatan rakyat merupakan asas kepada produktiviti, kesejahteraan sosial dan pembangunan ekonomi negeri.
Beliau berkata, penggunaan teknologi seperti rekod kesihatan elektronik, sistem temu janji digital, perkhidmatan kesihatan jarak jauh dan analitik data membuka ruang besar untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.
Namun, perkembangan tersebut turut membawa tanggungjawab baharu kepada setiap organisasi untuk memastikan data yang diproses dan dikongsi dikendalikan secara berhemah serta dilindungi sewajarnya.
James menyifatkan penganjuran PDPA Connect Sabah 2026 sebagai platform penting yang menghimpunkan pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti, industri dan pemegang taruh bagi memperkukuh pemahaman mengenai perlindungan data peribadi.
Katanya, isu perlindungan data tidak boleh dilihat dari sudut perundangan semata-mata, tetapi perlu difahami dari aspek operasi, teknologi, budaya organisasi serta kepercayaan masyarakat.
“Dalam dunia digital hari ini, kepercayaan merupakan satu nilai yang sangat penting. Masyarakat akan lebih yakin menggunakan perkhidmatan digital apabila mereka percaya bahawa data mereka dikendalikan dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata, pembinaan kepercayaan digital memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, pihak kawal selia, institusi kesihatan, universiti, industri, penyedia teknologi dan masyarakat.
Dalam konteks pendidikan, sains, teknologi dan inovasi, beliau berkata, perlindungan data peribadi merupakan komponen penting dalam membina masa depan digital yang mampan.
Menurutnya, institusi seperti UMS dan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) memainkan peranan penting bukan sahaja dalam penyediaan perkhidmatan dan pembangunan modal insan, tetapi juga dalam membudayakan amalan tadbir urus data yang baik.
“Kita memerlukan lebih ramai profesional yang bukan sahaja mahir dalam bidang kesihatan dan teknologi, tetapi juga memahami kepentingan perlindungan data, keselamatan maklumat dan penggunaan data secara bertanggungjawab,” katanya.
James yakin Sabah mempunyai potensi besar untuk membangunkan ekosistem kesihatan digital yang inklusif, pintar dan selamat dengan sokongan institusi akademik, sektor kesihatan serta pihak kawal selia.
Beliau turut berharap PDPA Connect Sabah 2026 menjadi titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama strategik antara Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kerajaan Negeri Sabah, UMS, HUMS, sektor kesihatan dan pihak industri dalam memperkukuh agenda kepercayaan digital di Sabah.
Turut hadir ialah Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar yang mewakili Naib Canselor UMS; Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Shariffah Rashidah Syed Othman; dan Pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah, Profesor Madya Dr. Malehah Mohd. Noh.
































