PENAMPANG: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian khianat yang melibatkan sebuah pondok doa di kawasan Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu pada 13 Julai selepas pondok doa berkenaan didapati berada dalam keadaan berselerak.
Beliau berkata, beberapa barangan di dalam pondok doa tersebut dipercayai telah dirosakkan oleh individu yang tidak dikenali.
“Pada 13 Julai 2026, pihak polis menerima satu laporan berhubung pondok doa tersebut yang didapati dalam keadaan berselerak, manakala beberapa barangan di dalamnya dipercayai telah dirosakkan oleh individu tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sammy berkata, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda serta Seksyen 295 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat atau objek suci dengan niat menghina agama.
Beliau berkata, Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, Seksyen 295 pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
“Polis Diraja Malaysia memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, ketenteraman awam dan sensitiviti agama,” katanya.
Sehubungan itu, Sammy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan ketenteraman awam.
Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-636 5734 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
































