James (duduk, kanan) bersama Dr. Noraini (duduk, kiri) bergambar kenangan selepas sesi pembentangan tersebut.
KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi, Datuk James Ratib menyatakan hasrat untuk menjadikan Sabah sebagai hab utama pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Malaysia Timur menerusi cadangan penubuhan Pusat STEM Sabah bersama 24 cawangan daerah di seluruh negeri.
Hasrat itu dizahirkan selepas menerima pembentangan cadangan penubuhan pusat berkenaan daripada Pengarah Pusat STEM Universiti Malaya, Profesor Ir. Dr. Mas Sahidayana Mokhtar dan Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris dalam Mesyuarat Pemerkasaan STEM di pejabat beliau di sini kelmarin.
Turut hadir Pegawai Khas (Pendidikan) kepada Menteri, Hairudin Shamsudin; Setiausaha Rendah Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi (KPSTI), Cornelia Gregory Kolopis Han; serta Penolong Pegawai Tadbir, Jennifer Amora.
Cadangan itu mengesyorkan penubuhan sebuah Pusat STEM Sabah di Kota Kinabalu sebagai ibu pejabat negeri, selain 24 cawangan di seluruh Sabah bagi memperluaskan akses pendidikan STEM, khususnya kepada pelajar di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurut kertas cadangan yang dibentangkan, rangkaian pusat berkenaan akan menjadi pemangkin pembangunan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, dron, pengaturcaraan, Internet Pelbagai Benda (IoT), teknologi hijau dan inovasi, selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital serta aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pusat STEM Sabah yang dicadangkan di Kota Kinabalu akan berfungsi sebagai ibu pejabat negeri dengan pelbagai kemudahan termasuk Akademi Latihan Guru STEM, Makmal AI, Makmal Robotik, Makmal Dron, Digital Fabrication Lab, Makerspace, Inkubator Startup Pelajar, Pusat Pameran Sains, Studio Digital dan Pusat Data STEM Sabah.
Selain itu, sebanyak 24 cawangan Pusat STEM Daerah dicadangkan diwujudkan bagi memastikan akses pendidikan STEM dapat diperluaskan secara menyeluruh.
Antara daerah yang dikenal pasti ialah Penampang, Putatan, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Ranau, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Tongod, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Tawau, Kalabakan, Beaufort, Kuala Penyu, Sipitang, Tenom dan Keningau.
Setiap pusat STEM daerah akan dilengkapi kemudahan pembelajaran moden seperti makmal robotik, AI, dron, pengaturcaraan, elektronik, IoT, percetakan 3D, studio multimedia, ruang inovasi, Makerspace, bilik realiti maya dan realiti terimbuh (VR/AR) serta mini galeri sains.
Cadangan itu selaras dengan aspirasi SMJ dan agenda nasional berkaitan pembangunan sains, teknologi dan inovasi bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan teknologi hijau.
Melalui rangkaian Pusat STEM Sabah, pelbagai program pembangunan bakat dirancang termasuk Sabah Robotics Championship, Sabah Drone Challenge, Sabah AI Challenge, Digital Maker Festival, Science Camp, Girls in STEM, Program Teknologi Hijau, Space Science Programme, Junior Engineer Programme dan AI for Kids.
Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada murid prasekolah, pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar TVET, institusi pengajian tinggi, guru, pensyarah, belia, komuniti serta sektor industri.
Menurut cadangan berkenaan, projek itu dianggarkan memerlukan pelaburan keseluruhan RM195 juta, merangkumi RM75 juta bagi pembangunan ibu pejabat Pusat STEM Sabah di Kota Kinabalu dan RM120 juta untuk penubuhan 24 cawangan pusat STEM daerah.
Pembiayaan projek dicadangkan melalui pelbagai sumber termasuk Kerajaan Negeri Sabah, Kerajaan Persekutuan, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), dana KPSTI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), kerjasama industri, program tanggungjawab sosial korporat (CSR), geran antarabangsa serta kerjasama awam-swasta (PPP).
Dalam tempoh lima tahun, projek itu menyasarkan 500,000 penyertaan pelajar, melatih 20,000 guru dalam pedagogi STEM, menghasilkan 10,000 projek inovasi, menganjurkan 500 pertandingan STEM, mewujudkan 100 rakan strategik industri serta membangunkan 500 syarikat pemula teknologi pelajar.
Penubuhan Pusat STEM Sabah dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang untuk merapatkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar, membudayakan inovasi serta memastikan generasi muda Sabah bersedia menghadapi perubahan landskap teknologi global.
James berkata, dengan jaringan pusat STEM yang komprehensif di seluruh negeri, Sabah berpotensi muncul sebagai peneraju pendidikan STEM di Malaysia Timur dan hab pembangunan bakat teknologi masa depan negara.
































