KENINGAU: Sebilangan besar Ahli Jawatankuasa Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian N.40 Bingkor mengumumkan keputusan untuk keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu majlis khas yang diketuai Naib Ketua Bahagian STAR Bingkor, Danil Palangi bersama beberapa Ahli Jawatankuasa bahagian lain, hari ini.
Danil berkata, keputusan berkenaan dibuat secara sukarela selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan berkaitan hala tuju perjuangan politik dan kepentingan rakyat di kawasan Bingkor.
“Keputusan ini dibuat tanpa sebarang paksaan atau desakan daripada mana-mana pihak. Ia adalah keputusan bersama yang lahir daripada pertimbangan matang demi memastikan perjuangan kami terus relevan dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam sidang media itu.
Menurut beliau, sebagai antara individu yang terlibat dalam membina dan mengembangkan STAR di Bahagian Bingkor sejak peringkat awal, mereka berpendapat parti itu tidak lagi mampu memenuhi aspirasi serta harapan yang diinginkan oleh sebahagian besar kepimpinan dan akar umbi di kawasan tersebut.
“Kami sentiasa meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan politik. Oleh itu, kami merasakan sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam usaha memperjuangkan pembangunan, kebajikan dan masa depan masyarakat di Bingkor,” katanya.
Danil berkata, walaupun mereka tidak lagi bersama STAR, komitmen untuk terus mendampingi rakyat tidak akan berubah.
“Kami akan terus turun padang, mendengar denyut nadi rakyat serta membantu menyelesaikan masalah masyarakat dalam kapasiti yang bersesuaian. Perjuangan untuk rakyat tidak terhenti hanya kerana perubahan platform politik,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyatakan sokongan berterusan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang disifatkan sebagai pemimpin berjiwa rakyat dan sentiasa mengutamakan kestabilan politik serta pembangunan negeri.
“Kami melihat kepimpinan Datuk Seri Hajiji telah membawa pendekatan yang inklusif, sederhana dan berfokus kepada pembangunan rakyat. Justeru, kami akan terus memberikan sokongan kepada usaha-usaha yang membawa manfaat kepada rakyat dan negeri Sabah,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat agar terus mengekalkan semangat perpaduan dan bersama-sama menyokong agenda pembangunan demi kemajuan Bingkor serta kesejahteraan seluruh rakyat Sabah.

































