Zara Qairina Mahathir
KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir berehat seketika sebelum bersambung semula pada 7 Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, pada tarikh tersebut, Mahkamah Koroner akan mendengar keterangan ahli kimia, Nor Aidora Saedon yang menjalankan analisis terhadap kesan dipercayai darah pada salah satu helaian kertas yang dikatakan ditulis oleh Allahyarham.
Nor Aidora yang merupakan pakar forensik asid deoksiribonukleik (DNA) yang pernah memberi keterangan dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, kes liwat Mohd. Saiful Bukhari dan terbaharu, kes kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin dijangka akan mendedahkan adakah kesan pada kertas tersebut adalah darah. Jika benar, siapakah pemiliknya?
Pada 8 September lalu, pasukan pegawai pengendali mengemukakan 15 helaian kertas, empat buah buku nota dan dua buku teks ke mahkamah. Kesemua dokumen itu telah diperiksa oleh pemeriksa dokumen daripada Jabatan Kimia, Nurul Atiqah Mohd. Noh.
Salah satu helaian kertas yang mempunyai tulisan yang sama dengan tulisan Zara Qairina dipenuhi dengan kesan dipercayai darah.
Pada muka surat yang tertulis tarikh 5/1/25 (ada kesan dipercayai darah) terdapat tulisan tangan antara lain menyebut: “Dengan (tulisan tidak lengkap) Bismillah, saya Zara Qairina binti (tulisan tidak lengkap) ingin memutuskan persahabatan (nama tidak jelas).”
Sejak 3 September lalu, seramai 16 saksi telah memberi keterangan yang mana lapan daripadanya ialah saksi kanak-kanak. Saksi kanak-kanak kelapan akan menyambung keterangannya selepas Nor Aidora selesai memberi keterangan.
Berdasarkan keterangan saksi kanak-kanak yang merupakan rakan satu dorm Zara Qairina dan yang tinggal di dorm bersebelahan, Allahyarham disoal siasat oleh beberapa pelajar senior beberapa jam sebelum ditemukan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.
Pada awal inkues, Koroner Amir Shah Amir Hassan dimaklumkan bahawa seramai 68 orang akan dipanggil memberi keterangan, namun dua hari lalu mahkamah memberi gambaran bahawa prosiding mungkin akan berlanjutan sehingga ke penghujung tahun berikutan masih ramai lagi saksi yang belum memberi keterangan.
Perkara sama turut dimaklumkan oleh peguam Datuk Ram Singh dan Joan Goh yang turut menyatakan pihaknya dan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat akan memanggil saksi pakar mereka sendiri.
Barisan peguam yang mewakili Noraidah ialah Rizwandean M. Borhan, Shahlan Jufri, Mohd. Syarulnizam Mohd. Salleh, Mohd. Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James. Mereka menjadi pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.
Ram dan Joan merupakan peguam mewakili Pelajar A yang juga salah seorang tertuduh yang didakwa mengeluarkan perkataan mencela terhadap Zara Qairina.
Empat lagi pelajar yang didakwa atas tuduhan serupa ialah Pelajar B, Pelajar C, Pelajar D dan Pelajar E dan mereka diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.
Pegawai pengendali terdiri daripada Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad; Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah serta Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S. Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Turut hadir sebagai pemerhati ialah Sabah Law Society (SLS) dan Peguam Kanan Persekutuan, Dr. Norahimah Fitri mewakili Kementerian Pendidikan.
































