SEMPORNA: Hanya disebabkan gagal mendapatkan maklum balas untuk menukar tempat duduk dalam kapal terbang, sepasang pelancong warga China bertindak menghantar e-mel palsu mendakwa terdapat bom dalam pesawat milik sebuah syarikat penerbangan.
Menurut Utusan Malaysia, pada mulanya, suspek lelaki berusia 29 tahun dan isterinya 28 tahun itu menghubungi ejen pelancongan bagi menukar tempat duduk, namun tidak menerima sebarang maklum balas.
Akibat berang, suspek bertindak menghantar e-mel kepada ibu pejabat syarikat penerbangan di Kuala Lumpur dengan mendakwa terdapat bom dalam pesawat yang dijadualkan berlepas hari ini dari Lapangan Terbang Tawau ke Kuala Lumpur.
Kandungan e-mel itu menimbulkan kebimbangan keselamatan syarikat, kru dan penumpang.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira pukul 3 petang, semalam.
Susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek di sebuah hotel di Semporna kira-kira pukul 8 malam.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan untuk menghantar e-mel ancaman terbabit.
Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, Deputi Superintenden Jaafar Hakim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Beliau berkata, perintah reman selama empat hari sehingga 27 September ini dikeluarkan oleh Majistret Don Stiwin Malanjum terhadap kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.
“Permohonan reman diperlukan bagi melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan suspek dan saksi, mendapatkan pengesahan pemilikan alamat IP (protokol internet) e-mel serta merujuk kertas siasatan kepada pihak pendakwa raya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
































