Amir Hamzah Azizan
SHAH ALAM: Orang ramai boleh menyemak kelayakan Budi Madani RON95 (Budi95) menerusi laman web www.budimadani.gov.my bermula Khamis ini.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, bagi pengisian pula perlu mengikut kategori seperti yang telah ditetapkan.
“Anggota polis dan tentera akan mula menikmati harga RM1.99 seliter bermula 27 September, penerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah) bermula 28 September dan warganegara Malaysia mempunyai lesen yang sah bermula 30 September,” katanya ketika sesi taklimat media penyasaran subsidi RON95 di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, bagi pembayaran terus di pam minyak pula, pengguna hanya perlu memasukkan MyKad ke dalam pengimbas (reader) untuk mengesahkan kelayakan.
Katanya, bayaran boleh dibuat sama ada secara tunai, kad kredit atau kad debit, melalui e-dompet dan aplikasi sebelum memulakan pengisian.
“Selepas selesai mengisi, akan keluar resit yang menunjukkan nilai transaksi pada harga pam, nilai subsidi ditanggung kerajaan dan jumlah dibayar pengguna pada harga RM1.99,” katanya.
































