Garrett Patrick
BINGKOR: Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) akan menganjurkan dua program utama yang dijadualkan berlangsung dari September hingga November tahun ini.
Program berkenaan ialah Karnival Sukan BMBR 2025 dan Jelajah Sinar Kasih BMBR, masing-masing dengan objektif berbeza namun tetap selari dengan matlamat Hala Tuju BMBR 2.0.
Ketua Sekretariat BMBR, Garrett Patrick berkata, karnival sukan itu akan menjadi platform untuk menghimpunkan masyarakat melalui pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi.
“Selain menggalakkan gaya hidup sihat, program ini juga bertujuan menyemai semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jelajah Sinar Kasih BMBR akan memberi fokus kepada aspek kebajikan, sukarelawan dan kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor.
Garrett berkata, melalui pendekatan turun padang itu, BMBR mahu memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat terus daripada inisiatif yang dilaksanakan.
“Melalui kedua-dua program ini, Sekretariat BMBR berhasrat menggalakkan penglibatan menyeluruh masyarakat serta memperkukuhkan agenda pembangunan komuniti seperti yang digariskan dalam Hala Tuju BMBR 2.0,” jelas beliau.
Beliau menambah, usaha itu juga mencerminkan komitmen berterusan BMBR dalam membawa kesejahteraan dan pembangunan seimbang kepada penduduk Bingkor.
































