Cleopatra (depan, tengah) bergambar kenangan bersama peserta seminar.
KOTA KINABALU: Seminar Budaya Megalitik dapat mengukuhkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara warisan sejarah yang tidak ternilai.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, Sabah amat kaya dengan sejarah serta budaya yang pelbagai dan salah satu warisan yang unik ialah budaya megalitik iaitu peninggalan sejarah berupa batu-batu besar yang didirikan, disusun atau diukir dengan fungsi tertentu.
“Kita berbangga kerana Sabah termasuk dalam rangkaian tamadun megalitik dunia yang luas, setanding dengan tapak warisan di Asia Tenggara dan rantau Pasifik dan keunikan ini memberi identiti tersendiri kepada negeri kita.
“Namun begitu, kita harus sedar bahawa warisan megalitik berdepan dengan cabaran dan ada yang terancam akibat pembangunan tanpa kawalan, musnah kerana kurangnya kesedaran masyarakat dan hilang daripada pengetahuan generasi baharu kerana tidak didokumentasikan dengan baik.
“Sekiranya kita tidak mengambil langkah yang serius, tinggalan berharga ini mungkin hanya tinggal catatan dalam buku sejarah, sedangkan nilainya lebih besar daripada sekadar objek purba.
“Saya amat berharap seminar ini dapat berfungsi sebagai platform untuk menghimpunkan hasil penyelidikan terkini, membincangkan isu dan cabaran yang dihadapi, serta memperkukuh kerjasama antara kerajaan, akademia, masyarakat dan sektor swasta.
“Saya yakin dengan gabungan ilmu, pengalaman, dan komitmen semua pihak, kita mampu memastikan budaya megalitik di Sabah terus kekal relevan dan dihargai oleh generasi akan datang,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Budaya Megalitik di Negeri Sabah di Dewan Bankuasi Universiti Malaysia Sabah, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Cleopatra @ Clare Asing.
Beliau turut menegaskan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KEPAKS) komited dalam memastikan warisan budaya Sabah dipelihara dan dimajukan.
“Antara langkah yang sedang dan akan kita laksanakan termasuk kajian ilmiah berterusan bersama universiti dan para penyelidik untuk mendokumentasikan serta menilai tapak-tapak megalitik di Sabah dan juga pemeliharaan tapak bersejarah seperti Muzium Tapak Perkuburan Purba Kg. Pogunon,” tambahnya.
Seminar berkenaan menampilkan tiga pembentang iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Datuk Ts Dr. Ramzah Dambul, Ketua Kluster Pengajian Etnik dan Warisan Orang Asal, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BoRIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Professor Dr. Jacqueline Pugh-Kitingan dan Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Madya Dr. Oliver Valentine Eboy.
Hadir sama, wakil Naib Canselor UMS Profesor Dr. Asmady Idris, Pengarah Muzium Negeri Arif Abd. Hamid dan Pengaran BoRIIS UMS Profesor Madya Dr Normah Abdul Latip.