Jalan kampung yang telah dinaik taraf kepada jalan konkrit.
BINGKOR: Penduduk Kampung Tohan Baru di sini melahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada ADUN N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin atas usaha beliau menaik taraf jalan di kampung berkenaan kepada jalan konkrit.
Projek jalan konkrit yang siap sepenuhnya itu dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan yang disalurkan menerusi ADUN Bingkor, sekali gus memberi kemudahan lebih baik serta keselesaan kepada penduduk kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tohan Baru Lily Korimput berkata, usaha itu jelas membuktikan kesungguhan Robert dalam memperjuangkan keperluan rakyat di peringkat akar umbi.

Lily Korimput
“Penduduk sangat terhutang budi kerana Datuk Robert benar-benar mendengar keluhan rakyat serta segera bertindak mencari penyelesaian. Slogan beliau, ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat’ kini terbukti melalui projek ini,” katanya.
Menurutnya, jalan konkrit yang dibina bukan sahaja memudahkan urusan harian penduduk, malah turut memberi manfaat kepada anak-anak sekolah, petani dan pengguna jalan raya lain di kawasan itu.
Beliau berkata, penduduk amat menghargai pendekatan Robert yang turun padang dan sentiasa mengambil berat terhadap kesejahteraan masyarakat setempat.
“Beliau seorang pemimpin yang bekerja dengan hati, bukan sekadar menabur janji. Inilah pemimpin yang kami mahu terus bersama,” tambah Lily.
Penduduk Kampung Tohan Baru turut menyuarakan harapan agar Robert terus diberi kepercayaan untuk memimpin Bingkor, termasuk pada Pilihan Raya Negeri ke-17 yang akan datang.
“Dengan adanya pemimpin seperti beliau, kami yakin pembangunan Bingkor akan terus berjalan lancar dan rakyat tidak akan dipinggirkan,” katanya.































