KAPAYAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Datuk Jannie Lasimbang mengumumkan pemasangan perangkap sampah kedua di saluran longkang belakang restoran Funky Farm, sekali gus memperhebat usaha melindungi Sungai Moyog dan sungai-sungai sekitar.
Inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Skuad Sungai Kapayan (RSK) dan komuniti setempat, susulan kejayaan perangkap sampah pertama di Kampung Sodomon yang berjaya menahan lebih 10 tan plastik dan sisa organik daripada mengalir ke Sungai Petagas tahun lalu.
“Dengan adanya perangkap baharu ini, kita memperluas lagi usaha perlindungan sungai. Kebersihan mencerminkan sikap sesebuah komuniti. Sesuatu tempat dibentuk oleh masyarakatnya, bukan sebaliknya. Sebab itulah perubahan mesti bermula dengan kesedaran dan tindakan bersama,” kata Jannie.
Beliau menegaskan, penglibatannya dalam aktivisme alam sekitar bermula jauh sebelum menyertai politik, menunjukkan bahawa projek ini bukan sekadar penyelesaian fizikal terhadap masalah sampah, tetapi satu gerakan masyarakat yang dipacu semangat komuniti.
Jannie turut mengumumkan bahawa Festival Sungai Kapayan 3.0 akan berlangsung pada akhir September sebagai kesinambungan kepada usaha pendidikan komuniti, kesedaran serta aktiviti meraikan sungai-sungai di Kapayan.
Beliau menyeru semua penduduk Kapayan supaya terus bersatu menjaga Kapayan sebagai rumah bersama yang perlu dipelihara untuk generasi hari ini dan akan datang.


































