Haji Hajiji Haji Noor
SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor disifatkan sebagai pemimpin yang sentiasa mengutamakan penyatuan rakyat dan kepentingan negeri berbanding agenda politik kepartian.
Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Sungai Sibuga, Henry Haji Hamdan berkata, perkara itu terbukti sejak Pilihan Raya Negeri lalu apabila Hajiji berjaya membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi mengelakkan perpecahan rakyat.
“Pada pilihan raya negeri yang lalu kita membentuk kerjasama termasuklah dengan BN dan langkah itu berjaya mengelak perpecahan di kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Henry berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang menurutnya seolah-olah seperti peribahasa “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tidak nampak.”

Henry Haji Hamdan
Beliau menegaskan, Hajiji sentiasa bersikap adil dalam agihan jawatan seperti menteri dan pembantu menteri bagi memastikan keseimbangan politik serta keutamaan rakyat terpelihara.
“Ketua Menteri melakukan semua ini kerana keutamaan beliau adalah rakyat, bukan kepentingan peribadi atau kelompok tertentu,” tegasnya.
Sehubungan itu, Henry menegaskan bahawa Hajiji wajar dipertahankan dan dikekalkan sebagai Ketua Menteri kerana pelbagai inisiatif beliau memberi manfaat kepada rakyat, termasuk dalam sektor pendidikan dan program pembangunan akar umbi.
Dalam kenyataannya, Henry turut membidas Suhaimi yang menurutnya tidak wajar mendesak Hajiji meletak jawatan, sedangkan parti UMNO sendiri sedang berdepan isu kepimpinan.
“Tidak wajar seorang pemimpin memainkan agenda ‘undur’ demi menyembunyikan agenda pengkhianatan kepada rakan gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan menikam dari belakang kepimpinan melalui Langkah Kinabalu,” katanya.
Beliau menegaskan sekali lagi bahawa pendirian dan kepimpinan Hajiji adalah tepat ketika ini, dan pemuda Gagasan Sungai Sibuga akan terus berdiri teguh menyokong beliau.






























