Jafry Ariffin
KOTA KINABALU: Aktiviti pembinaan yang baru-baru ini mendapat perhatian di media sosial di Gunung Kinabalu adalah sebahagian daripada pembangunan Pusat Latihan Altitud Tinggi (HATC) yang telah diluluskan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata projek itu bertujuan meningkatkan kemudahan pendakian gunung menerusi penyediaan kemudahan penginapan asas bagi menyokong latihan khusus di altitud tinggi dan aktiviti pendakian.
Jafry berkata HATC pada asalnya dicadangkan di bawah Pelan Pembangunan Taman Kinabalu pada 2015, namun pelaksanaannya ditangguhkan susulan gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun berkenaan.
“Inisiatif itu kemudiannya dihidupkan semula dan dilancarkan secara rasmi pada 2025 sebagai sebahagian daripada usaha Sabah mempelbagaikan tawaran pelancongan serta memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pendakian gunung yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jafry menegaskan bahawa projek berkenaan telah mendapat kelulusan yang diperlukan daripada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, selain sokongan Majlis Penasihat Adat Anak Negeri Gunung Kinabalu.
Katanya, penglibatan badan penasihat adat itu mencerminkan kepentingan menghormati nilai budaya dan spiritual Gunung Kinabalu kepada masyarakat pribumi.
“Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pelancongan. Ia merupakan sebahagian penting daripada warisan semula jadi dan budaya Sabah yang berkait rapat dengan tradisi, kepercayaan dan identiti masyarakat pribumi kita.
“Peluang ekonomi dan kemajuan pelancongan tidak seharusnya mengorbankan warisan budaya kita,” katanya.
Menyentuh kebimbangan terhadap kesan alam sekitar, Jafry berkata pembangunan itu menggunakan bahan binaan ringan, prafabrikasi dan modular bagi meminimumkan gangguan terhadap persekitaran sekeliling.
Struktur berkenaan juga direka untuk menahan tiupan angin kencang dan keadaan cuaca mencabar di kawasan altitud tinggi tanpa penggunaan jentera berat sepanjang kerja pembinaan.
Beliau berkata Kementerian akan memastikan semua aktiviti pembinaan mematuhi sepenuhnya spesifikasi yang diluluskan, keperluan alam sekitar serta undang-undang dan peraturan berkaitan.
“Walaupun projek ini telah mendapat kelulusan yang diperlukan, ia tidak mengecualikan mana-mana pihak daripada mematuhi syarat, spesifikasi teknikal dan keperluan peraturan yang ditetapkan.
“Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat ditetapkan atau gagal mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan,” katanya.
Jafry berkata Kementerian juga akan mempertimbangkan untuk menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama Taman-Taman Sabah dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengesahkan bahawa aktiviti pembinaan mematuhi semua keperluan yang berkuat kuasa.
Katanya, Kementerian memandang serius kebimbangan orang ramai susulan penyebaran gambar yang menunjukkan aktiviti pembinaan di gunung berkenaan.
“Kelulusan terdahulu bukan bermakna pembangunan boleh dilaksanakan tanpa batasan. Setiap peringkat pelaksanaan mesti tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan syarat yang mengawal perlindungan Gunung Kinabalu.
“Sekiranya sebarang ketidakpatuhan dikenal pasti, Kementerian tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan yang diperlukan mengikut undang-undang,” katanya.
Jafry menjelaskan bahawa HATC bertujuan menyediakan persekitaran latihan khusus kepada pendaki gunung yang membuat persiapan untuk ekspedisi ke destinasi altitud lebih tinggi, termasuk Gunung Kilimanjaro, Aconcagua dan Gunung Everest.
Kemudahan itu akan menyokong proses penyesuaian tubuh terhadap altitud tinggi, latihan teknikal pendakian gunung serta pengenalan kepada peralatan pendakian khusus, sekali gus menyediakan peluang kepada komuniti pendaki tempatan dan antarabangsa.
Beliau berkata Gunung Kinabalu mempunyai kelebihan tersendiri dari segi aksesibiliti, infrastruktur pendakian yang sedia ada serta landskap geologi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Dengan jaraknya yang dekat dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Gunung Kinabalu menawarkan persekitaran yang lebih mudah diakses dan menjimatkan kos bagi latihan khusus pendakian gunung.
“HATC juga berpotensi menarik kelab dan organisasi pendakian gunung antarabangsa, sekali gus mewujudkan manfaat ekonomi tambahan kepada masyarakat setempat dan industri pelancongan secara keseluruhan,” katanya.
Beliau menambah bahawa inisiatif itu menyokong objektif lebih luas UNESCO Global Geopark Kinabalu menerusi galakan terhadap geopelancongan yang bertanggungjawab, kesedaran alam sekitar dan pembangunan pelancongan mampan.
Jafry turut mengalu-alukan keprihatinan orang ramai dalam usaha melindungi Gunung Kinabalu, sambil menyifatkan kewaspadaan itu sebagai cerminan rasa pemilikan dan tanggungjawab tinggi rakyat Sabah terhadap warisan semula jadi berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, perbincangan awam perlu berpandukan maklumat tepat serta pemahaman jelas mengenai tujuan dan skop pembangunan itu.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri kekal komited memastikan pembangunan pelancongan dan pemuliharaan alam sekitar bergerak seiring.
“Pendirian kita jelas. Pembangunan tidak boleh mengorbankan pemuliharaan, begitu juga kemajuan tidak boleh mengetepikan nilai budaya dan tradisi masyarakat kita.
“Tanggungjawab kita adalah melindungi keutuhannya sambil memastikan sebarang penambahbaikan memberikan tujuan yang bermakna dan mampan,” katanya.




























