Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles
KOTA KINABALU: Kekurangan pegawai perubatan di Sabah yang semakin kritikal memerlukan tindakan segera dan menyeluruh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), termasuk penempatan tambahan doktor dari Semenanjung bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor (PKMB) Haji Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles berkata beliau menyokong gesaan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah supaya KKM segera menangani masalah kekurangan doktor yang sudah sekian lama menjadi cabaran utama penyampaian perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menurutnya, masalah berkenaan bukan hanya tertumpu di Hospital Ranau, malah turut dirasai beberapa hospital daerah dan fasiliti kesihatan lain, termasuk Hospital Daerah Keningau yang memerlukan perhatian dari segi keperluan tambahan pegawai perubatan.
“Keperluan doktor yang mencukupi amat penting bagi memastikan pesakit mendapat rawatan sewajarnya, mengurangkan tempoh menunggu serta memastikan perkhidmatan kecemasan dan rawatan harian dapat diberikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Yazid yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian P180 Keningau berkata kekurangan doktor bukan sahaja memberi kesan kepada pesakit, malah meningkatkan beban tugas pegawai perubatan sedia ada yang terpaksa bekerja lebih lama dan menjalankan tugas atas panggilan dengan lebih kerap.
Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan kebajikan, kesihatan dan motivasi petugas perubatan, sekali gus memberi kesan kepada kelancaran serta kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Rakyat Sabah, sama ada di bandar mahupun kawasan luar bandar, berhak mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, cekap dan mencukupi tanpa perlu berdepan kesukaran mendapatkan rawatan akibat kekurangan petugas,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan KKM mempertimbangkan beberapa langkah segera, termasuk penempatan sementara doktor dari Semenanjung, pengisian segera jawatan kosong serta penyusunan semula penempatan pegawai perubatan berdasarkan tahap keperluan setiap hospital dan daerah.
Dalam jangka panjang, katanya, kerajaan perlu memperkukuh insentif penempatan di Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, selain menyediakan kemudahan penginapan bersesuaian dan mewujudkan dasar pengekalan doktor yang lebih menarik serta berkesan.
Yazid turut berpandangan pembangunan tenaga perubatan tempatan perlu terus diperkasakan melalui peluang latihan, pengambilan dan laluan kerjaya lebih baik bagi memastikan Sabah tidak terus berdepan masalah kekurangan doktor pada masa hadapan.
Beliau berharap KKM bersama Kerajaan Negeri Sabah dapat memberikan perhatian serius terhadap isu berkenaan kerana kesihatan rakyat merupakan keperluan asas yang tidak boleh dikompromi.
“Jangan sampai rakyat terpaksa menanggung kesan akibat kekurangan tenaga perubatan. Tindakan segera amat diperlukan demi kebajikan pesakit, keselamatan rakyat dan kesejahteraan petugas kesihatan yang selama ini berkhidmat dengan penuh tanggungjawab,” katanya.




























