Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menangani buli bagi menyelaras isu berkaitan jenayah buli di semua peringkat.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penubuhan jawatankuasa itu dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu akan berlangsung pada Selasa ini.
“Mesyuarat itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Jawatankuasa khas ini akan mengumpulkan pelbagai kementerian dan gensi bagi menyelaras beberapa
perkara susulan beberapa pindaan yang dibuat terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan.
“Mesyuarat hari ini turut menerima cadangan daripada Azalina bagi membentuk sebuah tribunal anti buli selain turut menyentuh prosedur operasi standard (SOP) di asrama sekolah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet hari ini.
Katanya, turut dibincangkan adalah keperluan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk meneliti semua SOP sedia ada berkaitan jenayah buli di sekolah.
Fahmi berkata, jawatankuasa ini juga akan melibatkan semua kementerian, agensi dan jabatan susulan penyelarasan serta pindaan kepada Kanun Keseksaan.
Menurutnya, beberapa SOP sedia ada perlu diperhalusi dan diperbaiki supaya ia lebih kemas sekali gus diseragamkan di semua peringkat kementerian, jabatan dan agensi.
“Untuk itu, wakil daripada Jabatan Peguam Negara akan turut serta dalam jawatankuasa yang ditubuhkan itu. Bagi kementerian ini, kita juga akan bincangkan mengenai isu buli siber.
“Kesemua perkara ini akan dibincang dan diteliti oleh jawatankuasa tersebut. Secara keseluruhan, usaha ini tidak ada masalah dan diharapkan akan beri kesan positif,” katanya.
Sebelum ini, Azalina mencadangkan kepada kerajaan tentang kepentingan menggubal Akta Anti-Buli yang menekankan penubuhan tribunal khas bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak, memandangkan tiada definisi khusus atau hukuman jelas berkaitan buli dalam undang-undang sedia ada.

































