Brenndon Keith Soh
KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menegaskan kepentingan memelihara maruah serta integriti Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT), yang disifatkan sebagai tonggak penting perpaduan, kesinambungan dan kedaulatan dalam kerangka Perlembagaan.
Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, TYT yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja Ketua Negeri, malah simbol penghormatan dan kestabilan yang perlu dipelihara sepanjang masa.
“Dalam hal ini, kami memandang serius penularan hantaran media sosial yang berunsur menghina, memfitnah, palsu dan mengelirukan mengenai TYT Sabah. Hantaran-hantaran ini mengandungi maklumat yang tidak berasas, tidak tepat dan berisiko menjejaskan keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap institusi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Soh menegaskan bahawa walaupun kebebasan bersuara dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, ia mesti diamalkan dengan penuh tanggungjawab.
Beliau memberi amaran bahawa penyebaran maklumat yang menghina, direka-reka atau mengelirukan boleh menjejaskan kepercayaan awam dan boleh menjadi satu kesalahan jenayah serius di bawah undang-undang Malaysia, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1949 dan Kanun Keseksaan.
Katanya, orang ramai perlu memastikan maklumat disemak serta disahkan melalui sumber rasmi dan boleh dipercayai sebelum dikongsi dalam talian.
Beliau menambah bahawa penggunaan media sosial secara bertanggungjawab amat penting bagi mengekalkan ruang awam yang beradab dan berinformasi. Jika perlu, tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil untuk mengekang penyebaran maklumat palsu secara sengaja serta menjaga ketenteraman dan keharmonian awam di negeri ini.
“Kami tetap komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang sambil menggalakkan dialog yang membina, saling menghormati dan penyebaran maklumat yang tepat. Inilah tanda kematangan demokrasi di negeri dan negara kita,” kata Soh.
Beliau turut menggesa rakyat Sabah supaya membudayakan sikap jujur, berintegriti dan bertanggungjawab dalam berkomunikasi bagi melindungi kesucian institusi yang mencerminkan identiti negeri.
“Institusi Istana Seri Kinabalu melambangkan sejarah dan nilai negeri tercinta kita. Ia memerlukan penghormatan tertinggi atas kepentingannya di mata masyarakat, dan ini menuntut kita bersama-sama melindungi maruah serta kehormatan TYT Sabah sebagai institusi mulia negeri kita,” tambahnya.


































