Hanya 22 daripada 1,000 doktor yang ditawarkan jawatan tetap memilih Sabah dan Sarawak untuk bertugas.
KUALA LUMPUR: Bilangan pegawai perubatan yang bersetuju menerima tawaran penempatan tetap di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya di Sabah dan Sarawak amat rendah berbanding jumlah kekosongan jawatan yang disediakan.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, di Sarawak hanya tujuh pegawai perubatan memilih penempatan tetap manakala di Sabah hanya 15 orang walaupun hampir 1,000 jawatan tetap ditawarkan di kedua-dua negeri itu.
“Kita mahu memastikan jawatan di Sabah dan Sarawak tetap diisi. Walaupun tidak dapat dipenuhi sepenuhnya, sekurang-kurangnya pegawai perubatan yang ditawarkan jawatan tetap ini hadir melapor diri terlebih dahulu.
“Sekiranya mereka ingin membuat rayuan untuk kembali ke stesen pilihan selepas itu, ia boleh dipertimbangkan,” katanya menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd. Nor (PN-Temerloh) mengenai dasar asas KKM dalam penempatan pegawai perubatan tetap di Dewan Rakyat semalam.
Menurut beliau, buat masa ini, penempatan pegawai perubatan tidak boleh dibuat sepenuhnya mengikut kehendak masing-masing.
“Namun melalui sistem e-penempatan 2.0, kita sudah memberikan tiga pilihan, dan pilihan ketiga diwajibkan melibatkan Sabah serta Sarawak. Tetapi, jumlah yang memilih kedua-dua negeri itu masih terlalu rendah,” katanya.
Dalam pada itu, Lukanisman berkata, seramai 13,902 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan lantikan tetap sejak tahun 2023 iaitu melebihi sasaran asal 12,800 orang atau peningkatan lebih 8.6 peratus.
“Bagi meningkatkan kapasiti hospital kerajaan, KKM sedang menyegerakan pengisian 4,352 jawatan pegawai perubatan tetap secara berfasa.
“Mereka dijadual melapor diri seawal 2 Oktober ini di fasiliti kesihatan seluruh negara dan proses ini dijangka selesai akhir bulan sama,” katanya.
Tambah beliau, KKM turut mengadakan sesi libat urus di Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta dengan menawarkan tawaran bersyarat kepada bakal graduan perubatan bagi menarik minat mereka kekal berkhidmat dalam sektor awam.


































