Hajiji menerima resolusi konvensyen daripada Presiden USIA, Datuk Sapawi Ahmad.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, budaya buli yang nampaknya semakin berleluasa di pusat pengajian dan sekolah di Sabah serta negara ini perlu dipandang serius dan ditangani segera.
“Saya secara peribadi amat kecewa dan sedih dengan apa yang berlaku. Ini adalah satu keadaan yang tidak sepatutnya terjadi.
“Apa yang lebih menyedihkan ialah budaya buli dalam kalangan pelajar ini turut berlaku di sekolah agama! Masyarakat mula mempersoalkan, dan saya juga mahu tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.
“Bagaimana budaya buli sebegini boleh wujud dalam sebuah institusi yang membawa lambang kesucian Islam? Di manakah silapnya?” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Hajiji percaya konvensyen hal ehwal agama Islam ini adalah wadah terbaik untuk menilai kelemahan, memperbaiki kekurangan bukan sahaja di sekolah, tetapi juga dalam semua organisasi, sama ada milik kerajaan mahupun sektor swasta.
Beliau berkata, sebagai rakyat dalam sebuah negara berbilang kaum, umat Islam tidak dapat mengelak daripada berdepan isu berkaitan agama mereka, khususnya di media sosial.
Beliau melahirkan kebimbangan terhadap penularan propaganda palsu termasuk berita tidak benar dan fitnah, iaitu taktik jahat yang digunakan oleh kumpulan anti-kerajaan dengan tujuan menjatuhkan atau merosakkan reputasi pemimpin tertentu menjelang pilihan raya negeri yang semakin hampir.
“Selain isu politik, terdapat juga perkara lain yang turut disensasikan, seperti berkaitan ekonomi, keselamatan, kesihatan, alam sekitar dan isu 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja), malah institusi Yang di-Pertua Negeri juga turut diserang serta diperlekehkan,” katanya.
Tidak terkecuali, kata beliau, insiden tragis membabitkan budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah sehingga meragut nyawa.
“Perkara ini turut disensasikan oleh segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab, sehingga sanggup berbohong, menyebarkan berita palsu serta memfitnah individu tertentu,” katanya.
Ketua Menteri berkata, ledakan pesat teknologi maklumat pada abad ini telah membuka dunia tanpa sempadan, menjadikan dunia mengecil kepada apa yang disebut sebagai Global Village, di mana segala-galanya berada di hujung jari.
Cabaran, katanya, menjadi semakin besar dengan terciptanya aplikasi canggih dikenali sebagai Kecerdasan Buatan (AI) yang direka untuk membantu memudahkan tugasan dalam era moden ini.
“Namun, di sebalik manfaat dan kemudahan teknologi canggih ini, ia juga boleh membawa ancaman serius kepada kita, khususnya umat Islam, sekiranya disalahgunakan atau dijadikan senjata untuk menghasilkan infografik, audio atau video palsu dengan tujuan menggugat kestabilan ummah di seluruh dunia,” katanya.
“Penyalahgunaan aplikasi ini merupakan cabaran utama yang kita hadapi pada abad ini. Harus diingat bahawa dunia digital, termasuk teknologi internet, sentiasa berkembang pantas.
“Setiap hari, ciptaan baharu dihasilkan oleh saintis dan pengatur cara, sehingga pengguna biasa sering kali gagal mengikuti perkembangannya. Kebimbangan sebenar adalah terhadap generasi muda serta generasi akan datang di negara kita,” katanya.
Hajiji berkata, hakikatnya teknologi canggih akan mendominasi kehidupan manusia apabila negara-negara maju berlumba-lumba menghasilkan gajet dan pelbagai lagi ciptaan, bukan sahaja untuk menguasai pasaran global, tetapi juga untuk mempengaruhi serta mendominasi pemikiran manusia.
Sehubungan itu, katanya, di sinilah peranan ibu bapa, pendidik, pendakwah, pemimpin organisasi dan ketua masyarakat diperlukan untuk membimbing serta melindungi generasi muda.
“Tugas mendidik generasi muda dan membentuk anggota masyarakat adalah satu fardu kifayah yang ganjarannya amat besar.
“Oleh itu, ia mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta kecintaan kepada bangsa dan negara,” katanya.


































