Dr. Joachim (tiga dari kiri) menyempurnakan perasmian ladang Botanikel Pahu Pinawantai dengan memotong reben sambil disaksikan oleh Dr. Ahemad Sade dan yang lain.
RANAU: Projek pertanian logam atau Metal Farming yang dijalankan Botanickel Sabah dengan kerjasama komuniti Kampung Pahu Pinawantai dianggap selari sepenuhnya dengan hala tuju pembangunan negeri, kata Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau berkata, usaha ini bukan sahaja membawa pendekatan inovatif kepada sektor pertanian dan mineral.
“Projek ini membina negeri dan masyarakat dengan memperkenalkan teknologi phytoextraction yang novel di Sabah dan khususnya di Ranau. Penggunaan tumbuhan hiperpenumpukan (hyperaccumulators) yang hanya terdapat di Sabah adalah salah satu kaedah mengoptimumkan sumber dan hasil negeri,” katanya ketika melancarkan Projek Ladang Pahu di Kampung Pahu Pinawantai, di sini hari ini.

Dr. Joachim (tengah) melihat struktur daun tumbuhan hiperpenumpukan (hyperaccumulators) yang mampu menyerap logam berat atau unsur tertentu dari tanah.
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, projek itu membuktikan bahawa inovasi dalam bidang agro-mineral mampu digabungkan untuk menjana pulangan ekonomi baharu kepada rakyat Sabah.
Penggunaan teknologi tersebut berupaya mengasingkan logam berat daripada tanah yang kurang subur sekali gus memulihkan produktiviti tanah, tambah ADUN Kundasang itu.
“Selain memberi manfaat kepada sektor pertanian, projek ini juga berpotensi merangsang sektor pelancongan, yang menjadi kekuatan utama Ranau. Apabila teknologi dipindahkan kepada masyarakat, ia turut membangunkan modal insan, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan projek Metal Farming jelas menyokong ketiga-tiga teras Hala Tuju SMJ iaitu sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan; pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat; dan jaringan infrastruktur bersama kelestarian hijau.
Sehubungan itu, katanya, inisiatif Botanickel Sabah dengan penduduk kampung membuktikan bahawa penyelidikan saintifik mampu diguna pakai secara praktikal dalam pembangunan komuniti luar bandar.

Dr. Joachim (tiga dari kanan) menyempurnakan upacara menanam pokok.
Pada majlis itu, turut diadakan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Botanickel Sabah dengan Jabatan Perhutanan Sabah, Taman-Taman Sabah dan Pejabat Daerah Ranau.
Dr Joachim berkata, kerjasama strategik tersebut merupakan satu bentuk penjanaan aliran dana daripada sektor swasta melalui penglibatan, pelaburan atau usahasama pintar dengan agensi kerajaan.
“Kolaborasi seperti ini bukan sahaja memperkukuh pemindahan teknologi, malah memberi ruang kepada belia Sabah untuk dibimbing, diasah bakat mereka dan berpeluang membina kerjaya dalam bidang berkaitan,” katanya.
Katanya lagi, pengalaman komuniti Kampung Pahu Pinawantai dalam projek bersama Botanickel sejak hampir 10 tahun lalu membuktikan model kerjasama ini mampu diperkasakan dengan lebih sistematik.
“Melalui projek pra-komersial ini, usahasama dapat mengoptimumkan peruntukan sumber dan mengurangkan risiko ralat, sekali gus memberi penjimatan kos. Yang penting, ia meningkatkan keyakinan masyarakat kampung dan mengurangkan penghijrahan belia ke bandar untuk mencari pekerjaan,” jelasnya.

Dr. Joachim (belakang, tengah), Tinus (belakang, kanan) dan Dr. Ahemad Sade (belakang, kiri) menyaksikan acara menandatangani di antara Pengarah Botanikel Paul Gangku (duduk, kiri) dan Ketua Kampung Pahu Pinawantai, Masiun Ambak.
Dr. Joachim turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek itu.
Dengan pelancaran Ladang Pahu, katanya, plot lapangan ini akan menjadi lokasi utama eksperimen saintifik pertanian oleh Botanickel bersama penyelidik dari TANiLAB UiTM, yang kemudiannya diamalkan secara lestari oleh penduduk setempat.
“Saya yakin Ladang Pahu bukan sahaja simbol kejayaan usahasama antara kerajaan, syarikat dan komuniti, tetapi juga model pembangunan baharu Sabah dalam mengintegrasikan inovasi, kelestarian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Berharap penduduk kampung mengambil peluang ini untuk menanam untuk menarik Logan terse but dan menjadi produk Pertanian dan menjadikan keuntungan dan sama ada digunakan di kampung dan pihak
Sesb.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSKN) Pembangunan, Datuk Dr. Ahmad Sade; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam; Timbalan Ketua Pemelihara Hutan, Jabatan Perhutanan Sabah, Dr. Arthur Y.C Chung; Setiausaha politik kepada Timbalan Ketua Menteri II, Yubidi Gompoyo; Timbalan Pengarah Pentadbiran, Kewangan, Penyelidikan dan Inovasi Taman-Taman Sabah (Sabah Parks), Rini Repin; Pengarah Sabah Biodiversity Centre (SaBC), Ken Kartina Khamis, Pengurus Bahagian Produk Sabah Tourism Board (STB), Effendi Mahal; Timbalan Rektor PJIM & A UiTM, Dr. Viduriati Sumin; Malaysian French Chamber of Commerce and Industry (CCFIM), Jacques Liezerovici; Pegawai Pemungut Hasil Tanah Ranau (PPHT), Jaidi Gulis; Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani; Jurutera Jabatan Kerja Raya Ranau, Ketua Kampung Pahu Pinawatai, Masiun Ambak; Alvonna Jammy dan Duta Metal Farming, Meery Marguila Nior.
Dalam program berlainan, Dr. Joachim menyantuni penduduk Kampung Pinawantai dalam program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Kg. Pinawantai.


































